Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes saman AS$1.18 bilion SRC terhadap Najib mula dibicarakan 13 Feb 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Kes saman AS$1.18 bilion SRC terhadap Najib mula dibicarakan 13 Feb 2023

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Kes saman AS$1.18 bilion (S$1.59 bilion) yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah ditetapkan untuk perbicaraan selama 16 hari bermula 13 Feb tahun depan.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Suriani Ujang semasa pengurusan kes tersebut yang berlangsung secara dalam talian di sini hari ini. 

Pada prosiding itu, Najib diwakili peguam Wan Mohammad Arfan Wan Othman manakala Lisa Yong hadir bagi pihak SRC.

Mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan kes itu pada 13 hingga 16 Feb, 20 hingga 23 Feb, 6 hingga 9 Mac dan 13 hingga 16 Mac 2023.

Pada Selasa lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Fairuz Zainol Abidin menolak permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman itu selepas berpendapat Najib tidak akan diprejudis jika saman tersebut diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta (S$13.54 juta) dana SRC di Mahkamah Persekutuan.
 
Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan barunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 7 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (S$67.68 juta) ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta (S$13.54 juta) dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada hari sama, Najib memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Sumber : Bernama/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan