Skip to main content

Dunia

Kes ritual tolak banjir; Raja Bomoh, Puteri Zaleha dibebas dengan ikat jamin

Ibrahim Mat Zin atau digelar ‘Raja Bomoh’ yang ditahan atas dakwaan mencela dan menghina agama Islam, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Jumaat (7 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

IPOH: Ibrahim Mat Zin atau digelar ‘Raja Bomoh’ yang ditahan atas dakwaan mencela dan menghina agama Islam, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Jumaat (7 Jan).

Ibrahim, 71, dan ‘Puteri Zaleha’ atau nama sebenarnya, Suliaha Abdul Hamid, 62, tiba di perkarangan mahkamah pada 10 pagi sebelum dibawa masuk ke bilik bicara. 

BACA: Jabatan Agama Islam Perak siasat upacara tolak banjir Raja Bomoh

Pendakwa Syarie Negeri Perak Suhaili Ishak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding hari ini kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Suhaili memohon supaya Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

BACA: Raja Bomoh buat laporan polis, nafi upacara tolak musibah banjir

Hakim Syarie Mohammad Najib Ab Razak membenarkan kedua-dua individu itu yang tidak diwakili peguam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 (S$973)setiap seorang dan menetapkan 23 Feb untuk sebutan semula kes.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 Enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim berhubung satu ritual menolak bala dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial pada Rabu.

BACA: Ritual tolak banjir bercanggah dengan ajaran Islam, tegas Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama M'sia

Susulan itu, Ibrahim dan tiga individu lain ditahan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk (Ipoh) pada petang Khamis.

Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Ibrahim bersama seorang wanita dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita