Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes rasuah Zizie Izette dipindah, didengar bersama kes suami pada 11 Okt

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat (7 Okt) membenarkan permohonan Zizie Izette Abdul Samad untuk memindahkan kes beliau supaya didengar bersama permohonan suaminya Bung Moktar Radin.

Permohonan itu adalah semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September lalu yang memerintahkan Bung Moktar, 64 tahun, dan Zizie Izette, 44 tahun, membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta (S$855,654) membabitkan pelaburan RM150 juta (S$45.8 juta) dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Zizie Izette memindahkan kesnya untuk didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid selepas peguam M. Athimulan memaklumkan pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Pada prosiding pada Jumaat (7 Okt), Encik Athimulan turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memohon untuk menyatukan permohonan semakan Zizie Izette dan Bung Moktar pada 11 Oktober.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria memaklumkan pemberita di luar mahkamah bahawa pihaknya akan berhujah semasa prosiding pendengaran permohonan semakan yang difailkan pasangan tersebut di hadapan Encik Azhar pada 17 Oktober.

Pada 23 September lalu, Hakim Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah mereka di Mahkamah Sesyen selepas pasangan itu memfailkan notis usul untuk menyemak semula serta mengetepikan keputusan Hakim Rozina Ayob.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya memfailkan permohonan secara berasingan pada 19 Sept lepas antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil serta memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan agar mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah serta bersubahat.

Mereka memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen atas alasan hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan bahawa pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta ($672,156) dan RM262,500 ($80,669) sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta (S$45.8 juta) dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5.00 petang pada 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 (S$103,718) daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan