Skip to main content

Dunia

Kes rasuah VLN: Tarikh akhir rayuan pembebasan Ahmad Zahid ditetap pada 9 September

Anggaran Waktu Membaca:
Kes rasuah VLN: Tarikh akhir rayuan pembebasan Ahmad Zahid ditetap pada 9 September

Timbalan PM Zahid Hamidi. (Gambar fail: Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Khamis (18 Mac) menetapkan 9 September kepada Peguam Negara (AG) sebagai tarikh akhir untuk rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Ahmad Zahid Hamidi atas 40 pertuduhan menerima rasuah yang berkaitkan dengan VLN.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Azman Abdullah dan S M Komathy Suppiah memutuskan tarikh berkenaan selepas pendakwaan masih belum membuat keputusan sama ada menerima dua representasi daripada Encik Ahmad Zahid atau sebaliknya.

Sebelum ini, pihak pembelaan Timbalan Perdana Menteri itu memohon untuk menangguhkan prosiding rayuan yang kemudiannya tidak dibantah oleh pendakwaan, menurut Astro Awani.

Menjelang 9 September, mahkamah juga akan mendengar status dua representasi yang dikemukan oleh Encik Ahmad Zahid pada Februari lalu.

Pada 23 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Encik Ahmad Zahid, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 29 Disember 2022, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Encik Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB untuk menyambung kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan Pusat Sehenti (OSC) di China.

Pihak pendakwaan mengemukakan sebanyak 14 alasan memfokuskan kepada penemuan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada terdapat unsur rasuah dalam pemberian dan penerimaan wang dalam kes itu.

Sementara itu, peguam bela Hisyam Teh Poh Teik berkata bahawa sebab utama penangguhan pada Khamis ialah kerana Encik Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat tengah hari Khamis.

Manakala seorang lagi peguam bela, Hamidi Mohd Noh turut berkata bahawa penangguhan itu juga disebabkan kerana baru menerima hujahan rayuan bertulis pihak pendakwaan pada Khamis minggu lalu.

"Kes ini panjang dan sangat sukar untuk dibuat, jadi masa perlu diberikan kepada pihak kami untuk kami jawab dengan lebih teliti.

"Kita tak kata yang ini merupakan kes yang istimewa. Kita bercakap tentang keadilan dan keadilan perlu diberikan masa dan ruang secukupnya kepada kami untuk jawab," tambahnya lagi ketika bercakap kepada pemberita di Mahkamah Rayuan Putrajaya, dipetik daripada Astro Awani.

Presiden UMNO itu menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai S$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 (S$20,070) daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Encik Ahmad Zahid yang juga mantan Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018, lapor Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita