Skip to main content

Dunia

Kes rasuah meningkat kerana warga M'sia tidak lagi takut lapor, kata Mahathir

Dr Mahathir Mohamad berkata jumlah kes rasuah yang dilaporkan di Malaysia meningkat sejak kebelakangan ini selepas kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) menampilkan dasar dan usaha keras bagi menangani gejala itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes rasuah meningkat kerana warga M'sia tidak lagi takut lapor, kata Mahathir

Dr Mahathir. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Jan 2019 02:31PM Dikemas Kini : 22 Jan 2019 02:35PM

LAXENBURG: Dr Mahathir Mohamad berkata jumlah kes rasuah yang dilaporkan di Malaysia meningkat sejak kebelakangan ini selepas kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) menampilkan dasar dan usaha keras bagi menangani gejala itu.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata orang ramai dan pemberi maklumat tidak lagi takut untuk melaporkan kes-kes rasuah memandangkan kerajaan kini lebih terbuka dalam menangani kes-kes sedemikian.

“Apabila kita tanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka kata jumlah kes-kes yang dilaporkan meningkat tiba-tiba, namun kes-kes ini bukan berlaku dalam kerajaan sekarang, tapi semasa kerajaan terdahulu,” katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk “Memerangi Rasuah di Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif di Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA) di Laxenburg, Austria pada Isnin (21 Jan).

Beliau berkata kini orang ramai berasa lebih bebas untuk memberikan maklumat mengenai sebarang perlakuan rasuah, dan perlindungan turut diberikan kepada mereka di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Merujuk kepada rasuah, beliau berkata ia dikategorikan kepada dua peringkat; yakni diberi secara terbuka dan “di bawah meja”.

Beliau berkata sekiranya amalan rasuah di sesebuah negara itu dilakukan secara terbuka, ia akan menimbulkan masalah, kerana orang ramai akan menawarkan rasuah secara sukarela bagi mendapatkan perkhidmatan daripada pegawai-pegawai kerajaan, dan ia akan menjadi suatu amalan yang ‘biasa’ dalam kalangan masyarakat.

“Apabila sesebuah negara itu di peringkat rasuah diberikan ‘di bawah meja’, ia bermakna masih ada harapan untuk memerangi rasuah, kerana orang ramai tidak menawarkan rasuah, sebaliknya dipaksa berbuat demikian,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata adalah mustahil untuk menghapuskan rasuah sekiranya sesebuah negara itu mengamalkan rasuah secara terbuka.

Katanya kerajaan sedang melakukan segala yang termampu bagi mengurangkan gejala rasuah, sekalipun tidak dapat menghapuskan kesemuanya.

Beliau berkata tiada sesiapa yang boleh terkecuali daripada undang-undang, dan undang-undang semata-mata tidak cukup untuk memerangi rasuah.

Dr Mahathir berkata sesetengah negara merekodkan kes-kes rasuah yang minima, dengan rakyatnya menentang rasuah, dan perkara ini seharusnya dipupuk dari usia muda lagi.

Katanya antara usaha yang diambil kerajaan bagi memerangi rasuah adalah menetapkan bahawa semua menteri kabinet, termasuk berliau sendiri perlu mengisytiharkan aset kepada SPRM.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita