Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang ditangguhkan kepada 21 Mei

Perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan ahli perniagaan Cik Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan kepada 21 Mei. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang ditangguhkan kepada 21 Mei

Menteri Kewangan Lim Guan Eng. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Apr 2018 05:23PM Dikemas Kini : 09 Apr 2018 05:26PM

GEORGE TOWN: Perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan ahli perniagaan Cik Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan kepada 21 Mei kerana Lim perlu membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 walaupun penangguhan itu dibantah pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud membantah permohonan peguam Encik Gobind Singh Deo yang mewakili Encik Lim untuk menangguhkan perbicaraan itu atas alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menetapkan tarikh untuk penamaan calon.

“Saya memohon supaya perbicaraan diteruskan,” kata Encik Masri di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Terdahulu Encik Gobind memohon maaf kepada mahkamah kerana Encik Lim tidak hadir pada prosiding hari ini (9 Apr) atas alasan mempunyai urusan rasmi.

“Saya mohon satu penangguhan kerana Parlimen dibubarkan oleh perdana menteri. Oleh itu kami perlu masa untuk bersedia bagi pilihan raya. Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan, saya cadangkan supaya pengurusan kes ditetapkan awal bulan Mei bagi tentukan hala tuju perbicaraan,” katanya.

Hakim Hadhariah membenarkan permohonan peguam itu atas alasan ia berkaitan isu mengenai proses pilihan raya dan mahkamah juga tidak boleh menjalankan kes tanpa kehadiran tertuduh.

“Saya tidak boleh jalankan kes tanpa tertuduh, saya juga tidak boleh tunggu tertuduh. Saya tetapkan 10 Mei untuk pengurusan kes bagi pastikan isu-isu berkaitan proses pilihan raya diselesaikan,” kata beliau dan menambah, mahkamah akan menyambung semula perbicaraan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini 21 Mei hingga 25 Mei.

ALASAN PENANGGUHAN KES TIDAK KUKUH

Bagaimanapun, selepas mahkamah menangguhkan kes, Encik Gobind bersama peguam-peguam lain yang mewakili Encik Lim membuat sidang media di pekarangan mahkamah bagi menjelaskan kes itu yang turut dihadiri oleh Encik Lim.

Di luar mahkamah Encik Masri memberitahu media bahawa pihaknya bersedia menjalankan kes dan 14 saksi pendakwaan juga bersedia memberikan keterangan hari ini (9 Apr).

“Kami bantah permohonan penangguhan itu kerana SPR masih belum tetapkan tarikh penamaan calon. Kita masih boleh teruskan bicara untuk minggu ini. Alasan peguam untuk tangguhkan kes tidak kukuh,” katanya.

Setakat ini hanya dua hari perbicaraan kes itu berlangsung pada 26 dan 27 Mac lalu kerana pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan kes atas alasan Encik Gobind dan Encik Lim mahu menghadiri sesi pembentangan usul persempadan semula kawasan pilihan raya dan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018.

LIM DIKENAKAN 2 TUDUHAN

Mahkamah sebelum ini menetapkan 26 Mac hingga 30 Mac dan 9 April hingga 12 April bagi perbicaraan. Pihak pendakwaan memanggil 25 saksi dan dijangka akan memanggil 29 lagi saksi.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Encik Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Encik Lim, 58, dituduh melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 (S$3,400), atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Encik Lim didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Cik Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta (S$950,000).

Sedangkan, nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta (S$1.45 juta) yang tertuduh mengetahui bahawa Cik Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

AHLI PERNIAGAAN PHANG DIDAKWA KERANA BERSUBAHAT

Encik Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Okt 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Cik Phang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan