Kes rasuah: Ismail Sabri selesai beri keterangan kepada SPRM selepas lebih enam jam
Mantan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Rabu (19 Mac).
Mantan Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 Mac 2025. (Gambar: Bernama)
Beliau dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 4.35 petang. Awal dari itu, beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 9.57 pagi. Proses merakam keterangan beliau berlangsung selama lebih enam jam.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta pemasaran program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes beliau disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri menyusuli maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya dan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada bekas perdana menteri itu.
Pada 3 Mac, Encik Azam dilaporkan berkata Encik Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram. Hal tersebut berikutan penemuan wang tunai sekitar RM170 juta (S$51.1 juta) dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah "safe house", hasil serbuan SPRM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.