Kes pertama varian baru COVID-19 dikesan di Jepun
Jepun mengesahkan kes domestik pertama varian baru virus korona yang sebelum ini dikesan menular di Britain, menurut Kementerian Kesihatan Jepun, pada Jumaat (25 Dis).

Penduduk di Tokyo, Jepun pakai pelitup pada 20 Nov 2020 di tengah pandemik COVID-19 (Gambar: AP/Eugene Hoshiko)
TOKYO: Jepun mengesahkan kes domestik pertama varian baru virus korona yang sebelum ini dikesan menular di Britain, menurut Kementerian Kesihatan Jepun, pada Jumaat (25 Dis).
Lima individu disahkan positif varian baru COVID-19 yang mudah berjangkit itu selepas menjalani saringan di lapangan terbang sebaik tiba di Jepun dari Britain antara 18 Disember dan Isnin lalu, lapor Jiji Press yang memetik kementerian tersebut.
Seorang daripada individu yang dijangkiti, iaitu lelaki berusia 60 tahun, mengadu kepenatan, manakala empat yang lain tidak bergejala, dedah Kementerian Kesihatan Jepun.
Laporan itu bagaimanapun tidak pula mendedahkan kerakyatan lima individu berkenaan, namun lelaki yang berusia 60 tahun itu adalah penduduk Tokyo, manakala tiga lagi individu yang tiba di lapangan terbang Kansai dipercayai menetap di Osaka.
Dalam satu sidang media, Menteri Kesihatan Norihisa Tamura berkata kelima-lima individu itu menetap di kemudahan yang disediakan dan berkemungkinan tidak menjangkiti orang lain di Jepun kerana jangkitan mereka dikesan di lapangan terbang.
Varian baru itu dilaporkan 70 peratus lebih mudah berjangkit berbanding virus asal, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Varian itu turut disahkan dikesan di Afrika Selatan.
Susulan itu, Jepun akan memperketatkan sekatan terhadap para pengunjung dari Britain dan Afrika Selatan bermula hari ini.
Para individu dari dua negara berkenaan akan diwajibkan menetap di kemudahan disediakan selama tiga hari selepas tiba di Jepun.
Mereka perlu menjalani ujian saringan pada hari keempat dan dikuarantin selama 14 hari, termasuk jika didapati negatif.
Tempahan baru untuk penerbangan dari Britain akan digantung selama seminggu.
Varian baru virus korona itu turut disahkan di Itali, Belanda, Denmark dan Hong Kong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.