Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes 'perang dadah': Duterte mungkin berdepan hukuman penjara 20 tahun atau seumur hidup

Anggaran Waktu Membaca:
Kes 'perang dadah': Duterte mungkin berdepan hukuman penjara 20 tahun atau seumur hidup

Polis berkumpul di luar Pangkalan Udara Villamor, di mana mantan Presiden Filipina Rodrigo Duterte kini ditahan menurut parti politiknya, di Pasay, Metro Manila pada 11 Mac 2025. (Gambar: Jam STA ROSA / AFP)

Diterbitkan : 13 Mar 2025 12:09AM Dikemas Kini : 13 Mar 2025 12:10AM
MANILA: Mantan Presiden Filipina Rodrigo Duterte mungkin menghadapi hukuman penjara sehingga 30 tahun atau seumur hidup jika sabit kesalahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berhubung dengan perang dadahnya yang menimbulkan kontroversi, menurut Malacanang pada Rabu (12 Mac).

“Namun, ini bergantung kepada pembelaan yang boleh diambil oleh mantan presiden,” kata Setiausaha Rendah Pejabat Komunikasi Presiden dan Pegawai Akhbar Istana Claire Castro dalam satu taklimat media, menurut Agensi Berita Filipina (PNA).

Menurut laman web ICC, mahkamah tidak mengenakan hukuman mati.

Namun, hakim-hakimnya boleh menjatuhkan hukuman penjara hingga 30 tahun atau penjara seumur hidup dalam kes-kes luar biasa. Sabitan boleh dirayu, dan mahkamah juga boleh mengarahkan pampasan untuk mangsa.

Penahanan Encik Duterte oleh Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa tempatan dibuat menyusuli siasatan ICC yang sedang berlangsung berhubung dakwaan bahawa kempen antidadahnya menyebabkan ribuan pembunuhan di luar bidang kehakiman semasa beliau menjadi Datuk Bandar Davao City dan kemudian sebagai presiden.

Mantan presiden itu telah diterbangkan keluar negara pada Selasa (11 Mac) malam.

Encik Castro, seorang peguam berkata Encik Duterte perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah tempatan di Belanda terlebih dahulu untuk menentukan kesahihan penangkapannya sebelum dibawa ke ICC untuk berhadapan dengan tuduhan.

Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr, berkata dalam satu sidang akhbar sejurus selepas pemergian Encik Duterte ke The Hague, bahawa penangkapan itu dilakukan atas permintaan Interpol, bukan ICC.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan