Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel sudah bermula di The Hague

Anggaran Waktu Membaca:
 Kes pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel sudah bermula di The Hague

Mayat-mayat diletakkan di atas trak di luar sebuah hospital di Rafah pada 29 Dis 2023. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Jan 2024 05:33PM Dikemas Kini : 11 Jan 2024 05:35PM

BELANDA: Salah satu konflik paling memecahbelahkan dunia, iaitu perang Israel-Hamas, akan didengar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) .

Pemerintah Afrika Selatan sudah menyerahkan dokumen setebal 84 muka surat dan mendakwa tindakan Israel di Gaza adalah satu genosid atau pembunuhan beramai-ramai yang melanggar Konvensyen Genosid 1948.

Ia meminta ICJ di The Hague mengarahkan Israel supaya menghentikan semua tindakan ketenteraan di carikan itu.

Lima belas hakim mahkamah tersebut akan disertai oleh seorang hakim Palestin dan seorang hakim Israel untuk mendengar hujah-hujah awal yang dibentangkan oleh Afrika Selatan pada Khamis (11 Jan).

Pasukan peguam Afrika Selatan akan memulakan prosiding dengan berhujah bahawa mahkamah itu harus memohon perintah sementara untuk serta merta menggantung semua kegiatan ketenteraan Israel di Carikan Gaza sehingga keputusan muktamad dicapai.

Pada Jumaat (12 Jan), para peguam Israel akan membentangkan hujah balas - sama ada menentang langkah-langkah, atau mencabar bidang kuasa mahkamah untuk memerintahkan demikian.

Para pegawai Israel sudah mengibaratkan kes ini sebagai 'blood libel' atau fitnah darah, kiasan yang merujuk kepada sikap anti-Yahudi.

Mereka berhujah bahawa dakwaan genosid oleh Afrika Selatan menjadikan negara itu bersekongkol dalam serangan pada 7 Oktober oleh Hamas, yang mengorbankan 1,200 orang, menurut kiraan Israel.

Serangan itu mencetuskan serangan balas Israel dari udara dan di darat, yang menurut kementerian kesihatan Gaza, sudah meragut nyawa lebih 23,000 warga Palestin.

PEMBELAAN DAN RESPONS

Profesor pelawat di Center for Holocaust and Genocide Studies Universiti Minnesota, Melanie O'Brien, berkata setakat ini Afrika Selatan mengemukan hujah yang baik dan ICJ berkemungkinan mengarahkan langkah-langkah yang perlu dipatuhi Israel.

"Sejauh mana (langkah-langkah) itu bertahan, kita masih perlu tunggu dan lihat, kerana Israel boleh berhujah bahawa tindakan mereka dilakukan dalam konflik bersenjata menentang kumpulan bersenjata tidak bernegara," jelas beliau dalam program berita Asia First CNA pada Khamis (11 Jan).

Beliau menarik perhatian bahawa kes tersebut "adalah sesuatu yang sangat rumit" dan tidak jelas dan mudah seperti kes lain.

"Terdapat banyak perbincangan dalam kalangan peguam ketika ini, khususnya, mengenai perlunya untuk membuktikan bahawa pembunuhan beramai-ramai berlaku. Anda perlu membuktikan apa yang dipanggil 'niat khusus' dan ini bermakna niat untuk menghapuskan kumpulan itu," kata beliau.

Dalam Konvensyen sekarang ini, genosid merujuk kepada perbuatan atas dasar niat untuk menghapuskan, keseluruhan atau sebahagian, negara, kumpulan etnik, kaum atau agama.

"Dalam kes ini, Afrika Selatan berhujah bahawa Israel berniat menghapuskan warga Palestin, atau sekurang-kurangnya sebahagian besar penduduk Palestin. Dan ini amat sukar untuk dibuktikan," tambah Profesor O'Brien.

Sebaik sahaja hujah-hujah didengar, mahkamah akan membuat keputusan mengenai langkah-langkah sementara dalam masa beberapa minggu. Namun, sekalipun mahkamah itu memerintah langkah-langkah sedemikian diambil, tidak bermakna tindakan ketenteraan Israel akan berhenti.

Perintah ICJ adalah sah di sisi undang-undang tetapi penguatkuasaannya bergantung kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana Amerika Syarikat boleh menyekat sebarang tindakan penguatkuasaan.

Amerika Syarikat, yang menyokong Israel dengan menghulurkan bantuan pada bulan lalu menggunakan kuasa pembatal ke atas ketetapan PBB yang disokong oleh semua negara anggota lain Majlis keselamatan dan puluhan lagu negara menuntut agar gencatan senjata kemanusiaan segera dilaksanakan di Gaza.

REAKSI AMERIKA, EU

Washington sudah menyuarakan tentangannya terhadap kes yang dikemukakan Afrika Selatan, dengan jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby berkata: "Kami mendapati kes ini tiada merit, tidak produktif dan langsung tidak berasas."

Profesor O'Brien bagaimanapun berkata kes itu bukanlah tiada merit. Hakikat bahawa Israel menyatakan ia akan menyertai perbicaraan itu adalah "tanda sangat positif" dan berharap, jika perintah dikeluarkan, Israel akan mematuhinya, tambah beliau.

Di merata dunia, gambarannya kurang jelas.

Pendapat di Eropah, seperti di kebanyakan negara lain, berbeza-beza mengenai konflik di Gaza.

Ini bermakna, para pegawai Eropah lebih berhati-hati dalam memberikan respons mereka mengenai kes ini.

Tidak seperti rakan sejawatannya di Amerika, jurucakap ehwal luar EU Peter Stano memberitahu CNA kes itu pada asasnya adalah perkara yang harus diputuskan mahkamah.

"Memandangkan kami sebuah masyarakat berasaskan undang-undang dan menghormati undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, tentu sekali kami menyokong Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)," kata beliau.

"Berhubung kes ini, negara-negara ada hak untuk mengemukakan kes atau membuat tuntutan undang-undang. Kesatuan Eropah bukan sebahagian daripada tuntutan undang-undang ini. Jadi, ia bukan sesuatu yang perlu kami berikan komen kerana kes masih berjalan."

PERANAN AFRIKA SELATAN

Mengenai peranan Afrika Selatan dalam kes ini, Profesor O'Brien berkata ICJ menekankan bahawa mana-mana negara yang merupakan anggota Konvensyen Genosid boleh mengemukakan kes. Ini kerana perjanjian itu memandang serius hak asasi manusia.

"Afrika Selatan mengemukakan kes sebagai anggota Konvensyen kerana negara itu ada hak melakukan demikian. Namun apa yang benar-benar menarik adalah mereka juga melakukan demikian sebagai sebahagian daripada tanggungjawab untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di bawah Konvensyen itu," ujar beliau.

"Afrika Selatan sendiri punya sejarah aparteid. Maka ini ia seolah-olah ada kaitan peribadi...dan negara itu melihatnya sebagai sebahagian daripada peranannya untuk mencegah (genosid daripada berlaku) di tempat lain," tambah beliau.

Penting untuk negara-negara mempertahankan hak asasi manusia dan melindungi orang awam dan ini yang sedang dilakukan Afrika Selatan, kata beliau.

"Kita ada kes, di mana, sama ada atau tidak akhirnya Israel didapati melakukan pembunuhan beramai-ramai...pada waktu ini, kita boleh mengatakan bahawa terdapat risiko genosid, dan oleh itu, penting untuk mengambil tindakan bagi mencegah keganasan daripada memuncak dan juga menghentikan sebarang isu yang mungkin berkaitan dengan pelanggaran Konvensyen Genosid," ujar beliau.

Keputusan yang dibuat dalam beberapa hari mendatang di The Hague tidak mungkin membawa kesan ke atas Gaza dalam jangka pendek, memandangkan perubahan dari segi keadilan antarabangsa diketahui hanya berlaku dengan perlahan.

Sekalipun demikian, apa yang mereka lakukan adalah mencipta suatu duluan kehakiman, dan membuka lembaran baharu dalam sejarah konflik yang amat memecahbelahkan ini.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan