Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes pembunuhan beramai-ramai kaum Rohingnya dikemukakan kepada ICJ

Gambia akan membuka kesnya terhadap Myanmar di mahkamah tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan depan, yang menuduh negara dengan majoriti penganut Buddha itu melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum Muslim Rohingya, menurut tribunal itu semalam. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pembunuhan beramai-ramai kaum Rohingnya dikemukakan kepada ICJ
Diterbitkan : 19 Nov 2019 09:43AM Dikemas Kini : 19 Nov 2019 09:52AM

THE HAGUE: Gambia akan membuka kesnya terhadap Myanmar di mahkamah tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada bulan depan, yang menuduh negara dengan majoriti penganut Buddha itu melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum Muslim Rohingya, menurut tribunal itu semalam.

Negara kecil dengan majoriti penduduk Islam di Afrika itu akan meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya mengeluarkan injunksi darurat bagi melindungi kaum Rohingya, sementara menunggu keputusan untuk menangani kes tersebut.

Kes Gambia di ICJ menuduh Myanmar melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948 menerusi kempen kejam tentera negara itu yang menjadikan kaum minoriti Rohingya di Rakhine sasaran kempen tersebut.

ICJ dalam satu kenyataan menyatakan, ia akan mengadakan perbicaraan awam bagi kes itu antara 10 hingga 12 Disember. “Perbicaraan itu tertumpu kepada permohonan yang dikemukakan oleh Republik Gambia,” katanya.

Menurut Gambia, pihaknya memfailkan kes itu bagi pihak 57 negara anggota Muktamar Islam (OIC).

Sekitar 740,000 Muslim Rohingya terpaksa melarikan diri ke kem-kem pelarian di Bangladesh selepas tentera Myanmar pada 2017 melancarkan tindakan keras terhadap mereka, menurut para penyiasat PBB.

Para peguam Gambia berkata, negara itu mahu ICJ mengumumkan langkah kecemasan segera ‘bagi melindungi Rohingya daripada sebarang bahaya.’

Kes itu akan menjadi percubaan pertama untuk mengheret Myanmar ke muka pengadilan di peringkat antarabangsa berhubung dakwaan jenayah ke atas Rohingya dan ia turut menjadi contoh yang jarang sekali berlaku di mana sebuah negara menyaman sebuah lagi negara berhubung isu yang tiada kaitan sama sekali dengan negara yang mengemukakan tindakan undang-undang.

ICJ ditubuhkan pada 1946 selepas Perang Dunia Kedua untuk menjadi orang tengah bagi menghuraikan pertelingkahan antara negara-negara anggota PBB.

Secara berasingan, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), satu lagi mahkamah yang ditubuhkan pada 2002 untuk menyiasat jenayah perang, pada Khamis meluluskan ketua pendakwa rayanya untuk melancarkan siasatan menyeluruh terhadap penganiayaan kaum Rohingya.

Sementara itu, kumpulan-kumpulan hak asasi juga memfailkan tuntutan mahkamah berasingan berkaitan kaum Rohingya di Argentina di mana bekas ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Syi turut dinamakan dalam senarai tersebut.

Myanmar sudah berulang kali mempertahankan tindakan kerasnya terhadap kaum Rohingnya sebagai sesuatu yang diperlukan untuk membanteras militan.

Walaupun Myanmar bukan negara anggota ICC, mahkamah itu menegaskan bahawa Myanmar masih boleh dipertanggungjawabkan atas jenayah itu kerana ia menjejas negara jiran Bangladesh. 

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan