Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes pecah amanah Syed Saddiq dipindah ke Mahkamah Tinggi

Mahkamah Sesyen hari ini (30 Nov) memindahkan kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram ke Mahkamah Tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pecah amanah Syed Saddiq dipindah ke Mahkamah Tinggi

Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 Nov 2021 04:35PM Dikemas Kini : 30 Nov 2021 04:39PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini (30 Nov) memindahkan kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Azura Alwi memindahkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi pada 25 November lalu membenarkan permohonan pasukan pembelaan supaya kes dihadapi Syed Saddiq dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq memberitahu mahkamah bahawa dokumentasi berhubung perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan kes itu dipindahkan telah siap.

"Dokumentasi itu telah siap dalam bentuk digital," katanya semasa sebutan kes untuk pihak-pihak memaklumkan status berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq, 28, didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada melakukan pecah amanah ke atas dana itu dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta (S$324,475) melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2 pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 (S$38,937) yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 April dengan 21 April 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Ogos di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 (S$16,205) di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan