Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes pecah amanah Syed Saddiq akan dibicara di Mahkamah Tinggi

Perbicaraan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram akan didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes pecah amanah Syed Saddiq akan dibicara di Mahkamah Tinggi

Presiden Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Nov 2021 05:08PM Dikemas Kini : 25 Nov 2021 05:11PM

KUALA LUMPUR: Perbicaraan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram akan didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang membenarkan permohonan Syed Saddiq supaya kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohamed Zaini dalam keputusan ringkas berkata mahkamah yakin kemungkinan besar terdapat persoalan perundangan luar biasa yang akan timbul (dari kes itu).

“Adalah wajar untuk keadilan bagi kes pemohon (Syed Saddiq) dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Sehubungan itu, permohonan ini dibenarkan,” kata hakim.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa pemohon telah gagal untuk menunjukkan isu undang-undang yang wujud adalah isu yang kompleks dan pertama kali wujud sehingga menyebabkan seorang hakim Mahkamah Sesyen tidak dapat mengendalikan isu berkenaan.

“Berhubung dakwaan pembelaan wujudnya konspirasi jenayah, pemohon juga gagal untuk menunjukkan dalam afidavitnya bagaimana Hakim Mahkamah Sesyen tidak boleh menangani dakwaan pembelaan tersebut jika ia timbul semasa perbicaraan kelak. Justeru, kami memohon permohonan ini ditolak,” katanya.

Sementara itu, peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo berhujah jika kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen, masalah akan timbul kerana ia tidak dapat mengendalikan isu perlembagaan.

Menjawab perkara ini, Hakim Mohamed Zaini bersetuju dengan hujah Encik Gobind bahawa akan ada gangguan perbicaraan apabila isu itu timbul di Mahkamah Sesyen.

“Bagaimanapun, jika kes bermula (dibicarakan) di Mahkamah Tinggi, kami (Mahkamah Tinggi) boleh mengendalikan isu perlembagaan, ia akan menjadi seperti Pusat Sehenti,” kata hakim.

Sebutan kes itu dijadual pada 30 Nov di Mahkamah Sesyen untuk kedua-dua pihak mengemas kini mahkamah mengenai keputusan hari ini (25 Nov).

Bagi pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq, 28, didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta (S$323,400) melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 (S$38,800) yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad,Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Ogos di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 (S$16,170) di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan