Kes lucut hak harta Najib, Rosmah didengar 11 Mac
Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (19 Feb) menangguhkan pendengaran permohonan bekas Perdana Menteri negara itu, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor serta firma barang kemas Global Royalty Trading SAL ke 11 Mac depan.
Najib Razak di Mahkamah Tinggi pada 4 Dis 2019. (Gambar: Agensi berita)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini (19 Feb) menangguhkan pendengaran permohonan bekas Perdana Menteri negara itu, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor serta firma barang kemas Global Royalty Trading SAL ke 11 Mac depan. Ini bagi mendapatkan gambar serta membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd.
Harta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings bernilai RM680 juta (S$227 juta) itu didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof yang memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan tersebut.
Dalam prosiding itu, Encik Najib diwakili peguam Nur Fazreen Hazrina Rahim manakala Rosmah diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim dan peguam David Gurupatham serta peguam Kamarul Hisham Kamaruddin masing-masing bertindak bagi pihak Global Royalty dan Obyu Holdings.
Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antaranya menyita sebanyak 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 (S$38,159,340.70) dalam pelbagai denominasi.
Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri yang dimiliki oleh Obyu Holdings selain sebuah hartanah di daerah Kuala Lumpur yang turut disita pada 1 Nov 2018.
Pihak pendakwaan selaku pemohon memfailkan permohonan lucut hak harta Obyu Holdings yang dinamakan sebagai responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagaimanapun Encik Najib, Rosmah dan Global Royalty selaku pihak ketiga memohon untuk mendapatkan gambar serta membuat pemeriksaan fizikal terhadap harta-harta tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.