Kes keganasan rumah tangga meningkat semasa PKP M'sia
Sebanyak 74 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada tempoh Jun hingga Disember 2020, dengan peningkatan berpunca daripada pelbagai faktor khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu.
Gambar hiasan. (Gambar fail: Try Sutrisno Foo)
KANGAR: Sebanyak 74 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada tempoh Jun hingga Disember 2020, dengan peningkatan berpunca daripada pelbagai faktor khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lalu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Siti Berenee Yahaya berkata pihaknya dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil peduli terhadap kes keganasan rumah tangga.
“Setelah diberi sesi kaunseling dan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes itu dapat diselesaikan cuma ada beberapa kes yang berlaku perceraian,” katanya kepada wartawan pada Rabu (30 Jun).
Cik Siti Berenee berkata pada 2019 dan tahun sebelumnya, terdapat hanya 20 hingga 25 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan dan peningkatan ini berlaku berpunca daripada kekangan sumber pendapatan untuk keluarga sepanjang tempoh PKP.
“Kaedah LPPKN membantu adalah dengan memberi tumpuan sepenuhnya supaya tidak berlaku keganasaan rumah tangga dengan mendekati mereka yang terlibat dengan kes ini.
“Kita mencuba dengan kaedah panggilan telefon kepada kaunselor serta mengambil pendekatan panggilan video dan bertanya khabar kepada yang terlibat,” ujarnya.
Beliau menambah dari Januari hingga Jun tahun ini, terdapat tiga ke empat kes yang membuat panggilan kepada kaunselor untuk meminta nasihat tentang isu yang dihadapi mereka.
“Sebelum PKP hanya terdapat satu hingga dua kes, kadang-kadang isteri ini malu nak bercerita tentang masalah mereka sebab itu mereka tidak menggunakan khidmat kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau LPPKN,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.