Skip to main content

Dunia

Kes kebakaran terbuka melonjak 5 kali ganda di Melaka

Anggaran Waktu Membaca:
Kes kebakaran terbuka melonjak 5 kali ganda di Melaka
Gambar hiasan.
Diterbitkan : 03 Feb 2026 06:57PM Dikemas Kini : 03 Feb 2026 06:59PM
MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka merekodkan sebanyak 285 kes panggilan berkaitan kebakaran terbuka sepanjang Januari tahun ini, meningkat hampir lima kali ganda berbanding 57 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah JBPM Melaka Mohd Zaidi Ma’at berkata sepanjang tahun lalu pihaknya menerima 778 panggilan membabitkan kebakaran terbuka, termasuk di kawasan kebun, ladang, lalang, belukar, hutan dan sampah.

“Peningkatan ini amat membimbangkan memandangkan negara masih berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) dari November hingga Mac yang lazimnya membawa taburan hujan tinggi,” katanya kepada media pada Selasa (3 Feb).

Encik Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti melibatkan sumber api, selain sentiasa peka, memantau dan mengawal punca kebakaran.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan alam sekitar serta mengundang risiko kepada harta benda dan nyawa.

Beliau berkata antara punca dikenal pasti menyumbang kepada kebakaran terbuka ialah tiupan angin kencang, pembakaran sampah, aktiviti pembukaan ladang baharu serta perbuatan merokok, selain percikan api kecil yang berpotensi mencetuskan kebakaran besar dalam keadaan tertentu.

Dalam perkembangan lain, Encik Mohd Zaidi berkata sepanjang tahun lalu, kerugian akibat kebakaran di Melaka direkodkan sebanyak RM48,004,837 (S$15.3 juta) manakala nilai harta yang berjaya diselamatkan dianggarkan  sebanyak RM160,987,142 (S$51.3 juta).

"JBPM Melaka akan terus mempertingkat pemantauan dan menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi larangan pembakaran terbuka demi keselamatan bersama dan kemampanan alam sekitar," katanya.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita