Kes kebakaran tempat terbuka di Johor meningkat sejak pertengahan Feb
Aduan dan laporan kes kebakaran terbuka di Johor Baru meningkat sejak pertengahan Februari, ekoran cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.
(Gambar: Bernama)
JOHOR BARU: Aduan dan laporan kes kebakaran terbuka di Johor Baru meningkat sejak pertengahan Februari, ekoran cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Malaysia R. Vidyananthan.
Beliau berkata, rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mendapati beberapa kawasan tanah gambut di kawasan seperti di daerah Muar, Kota Tinggi, Pontian serta Gelang Patah, di Johor, mula terbakar dalam tempoh itu.
“Antara langkah yang sedang dilakukan bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering ketika ini termasuk mengaktifkan dan meningkatkan aktiviti rondaan darat serta dron bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti mudah terbakar.
“Pelaksanaan tindakan mahkamah turut dilakukan bagi kes-kes pembakaran terbuka di kawasan tapak binaan, industri dan ladang, manakala bagi kes-kes pembakaran terbuka yang kecil, akan dikenakan kompaun,” katanya menerusi kenyataan hari ini (7 Mac).
Encik Vidyananthan berkata, langkah lain adalah memastikan pembakaran yang dilakukan merupakan aktiviti yang diisytiharkan mematuhi syarat-syarat ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Diisytiharkan) (Pembakaran Terbuka) 2003, selain mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas pelepasan daripada kenderaan bermotor.
Beliau berkata kerajaan negeri dalam masa sama, turut mengaktifkan kempen kesedaran khususnya melalui radio tempatan, bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengupayakan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran, bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka.
Encik Vidyananthan sehubungan itu, turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan memadam kebakaran kecil.
“Melakukan pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jika sabit kesalahan, individu yang melakukan pembakaran terbuka atau pemilik tanah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 (S$164,752) atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 (S$660) juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.