Skip to main content

Dunia

Kes jangkitan pernafasan Indonesia naik lebih dua kali ganda dalam seminggu akibat kebakaran hutan

Jumlah kes jangkitan pernafasan akibat pencemaran daripada kebakaran hutan di Indonesia meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lebih seminggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes jangkitan pernafasan Indonesia naik lebih dua kali ganda dalam seminggu akibat kebakaran hutan

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan di Palembang, Sumatra Selatan, Indonesia, pada 8 September 2026. (Gambar: REUTERS/Abriansyah Liberto)

Diterbitkan : 11 Sep 2026 11:58AM
  • Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan kes jangkitan pernafasan meningkat lebih dua kali ganda akibat pencemaran dari kebakaran hutan, dengan lebih 12.5 juta penduduk terdedah kepada jerebu.
  • Kebakaran teruk di Sumatra dan Kalimantan tahun ini dipengaruhi fenomena El Nino, menyebabkan kemarau dan suhu tinggi, serta pelepasan asap besar ke udara serantau.
  • Jepun menghantar tiga helikopter Chinook untuk membantu operasi pemadaman di Kalimantan Barat, manakala Malaysia menawarkan bantuan udara dan Jakarta sedang menyelaras tawaran tersebut.
  • Kebakaran telah memusnahkan ratusan ribu hektar tanah sejak Januari, dengan impak jerebu turut menjejaskan mutu udara di Singapura dan Malaysia.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Jumlah kes jangkitan pernafasan akibat pencemaran daripada kebakaran hutan di Indonesia meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lebih seminggu.

Menurut data Kementerian Kesihatan Indonesia, sebanyak 113,336 kes dicatatkan setakat Rabu (9 Sep), berbanding 50,891 kes pada 1 September.

Jurucakap kementerian Widyawati berkata lebih 12.5 juta penduduk turut terdedah kepada jerebu akibat kebakaran di tujuh wilayah.

Hampir sejuta pelitup dan ratusan alat penumpu oksigen sudah dihantar ke kawasan terjejas, manakala ribuan petugas perubatan dikerahkan bagi membantu para penduduk.

Kebakaran melanda kawasan hutan dan tanah gambut di seluruh Indonesia, dengan Sumatra dan Kalimantan antara kawasan paling teruk terjejas.

Musim kebakaran tahun ini merupakan yang paling buruk dalam tempoh 11 tahun, sedang fenomena "El Nino super" menyebabkan suhu meningkat dan kemarau bertambah buruk.

Pelepasan asap daripada kebakaran di Indonesia kini merangkumi satu pertiga daripada jumlah pelepasan kebakaran global.

Jerebu rentas sempadan turut menyebabkan mutu udara mencecah paras tidak sihat di Singapura dan Malaysia.

JEPUN HANTAR TIGA HELIKOPTER CHINOOK

Jepun menghantar tiga helikopter CH-47 Chinook bagi membantu Indonesia menangani kebakaran tersebut.

Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia Berton Panjaitan berkata helikopter berkenaan menjalankan penerbangan percubaan pada Khamis (10 Sep).

Ia dijangka membantu operasi penyiraman air tentera Indonesia di Kalimantan Barat mulai Jumaat (11 Sep) atau Sabtu (12 Sep).

Malaysia, yang berkongsi sempadan darat dengan Indonesia di Borneo, turut menawarkan bantuan bagi operasi pemadaman kebakaran dari udara.

Encik Berton berkata Jakarta sedang menjalankan penyelarasan antara agensi bagi membincangkan tawaran Malaysia itu.

Data pemerintah menunjukkan sekitar 202,000 hektar tanah terbakar dari Januari hingga Julai tahun ini.

Kumpulan alam sekitar YKAN pula menganggarkan 600,000 hektar lagi terjejas akibat kebakaran pada Ogos.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita