Kes Ismail Sabri: Keterangan 36 saksi selesai dirakam, 23 lagi akan dipanggil
Keterangan 36 saksi telah direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Encik Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan. (Gambar: AP)
Menurut sumber SPRM, 23 lagi saksi baharu telah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.
“Saksi yang dirakam keterangan termasuk empat bekas pegawai kanan kepada Ismail Sabri yang sebelum ini direman dan dibebaskan dengan jaminan SPRM.
“Empat saksi pula masih dalam proses rakaman keterangan ketika ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa (11 Mac).
Sementara itu, sumber berkenaan juga memberitahu bahawa proses merakam keterangan Encik Ismail Sabri, yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, yang dijadualkan pada 13 Mac hanya akan dilakukan bergantung kepada tahap kesihatannya pada hari berkenaan.
“Sekiranya sihat, beliau boleh diambil keterangan,” kata sumber tersebut.
Mantan perdana menteri kesembilan itu sebelum ini dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta selepas rebah secara tiba-tiba di rumahnya pada 21 Februari lalu.
Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata Encik Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram berikutan penemuan wang tunai sekitar RM170 juta (S$42.2 juta) di dalam sebuah "safe house" susulan serbuan yang dilakukan pihaknya.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta (S$603,400) bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.