Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes hina Islam: Siti Nuramira, teman lelaki bayar ikat jamin RM40,000

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang menghadapi tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam serta teman lelakinya, masing-masing selesai membayar iakt jamin RM20,000 (S$6,332)yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen hasil daripada sumbangan orang ramai.

Penjamin kepada Siti Nuramira Abdullah, 26 tahun, dan V. Alexander Navin, 38 tahun, masing-masing membayar wang jaminan itu di kaunter bayaran jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) dan Petaling Jaya.

Peguam R. Sivaraj yang mewakili pasangan itu berkata beliau tidak dapat mengesahkan bila kedua-dua anak guamnya yang masing-masing berada di Penjara Satelit Beranang dan Kuala Kubu Bharu, Selangor akan dibebaskan.

“Dua penjamin iaitu kenalan kepada kedua-dua anak guam saya telah selesai membayar wang jaminan, namun saya tidak pasti bila mereka (Siti Nuramira dan Alexander) dibebaskan.

“Kami memahami dalam tempoh pandemik ini berlaku kelewatan pembebasan mereka disebabkan oleh teknikal, pengangkutan dan kuarantin, bagaimanapun saya berharap mereka dibebaskan hari ini atau esok,” katanya ketika ditemui pemberita di luar kaunter bayaran jamin di KMKL pada Isnin (18 Jul).

Menurut Encik Sivaraj, wang jaminan berjumlah RM40,000 (S$12,664) itu adalah hasil kutipan daripada sumbangan orang ramai dalam tempoh empat hari yang dimasukkan ke akaun bank hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL).

Pada 13 Julai lepas, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Perbuatan itu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dalam kalangan penganut agama Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 6 petang, 4 Jun lepas mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Alexander Navin pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan iaitu membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ dan YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’, pada 5 Jun dan 16 Jun lepas.

Kedua-dua hantaran itu dibaca di sebuah kondominium di Damansara Perdana di sini, pada 10.30 pagi, 9 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 (S$15,830) atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 (S$316) bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.
Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan