Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes HFMD M'sia naik 20 kali ganda, Selangor masih tertinggi

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Malaysia meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 20 kali ganda dengan 47,209 kes dilaporkan setakat 21 Mei lepas berbanding hanya 2,237 kes bagi tempoh sama pada 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 15,548 kes dicatatkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 yang berakhir pada 21 Mei yang menunjukkan kenaikan 106.6 peratus, berbanding ME sebelumnya dengan hanya 7,526 kes di seluruh negara.

“Sebilangan besar lokasi penularan wabak berlaku di tadika dan prasekolah iaitu 711 wabak atau 61 peratus daripada kes keseluruhan, diikuti rumah persendirian dengan 407 wabak atau 35 peratus dan pusat jagaan kanak-kanak 42 wabak atau tiga peratus,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (24 Mei). 

Dr Noor Hisham berkata Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 13,640 kes iaitu 28.9 peratus daripada keseluruhan, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 6,206 kes (13.1 peratus), Perak 4,099 kes (8.7 peratus), Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus), manakala negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 2,500 kes.

Beliau berkata sebanyak 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri mencatat kejadian wabak tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 413 wabak (35.4 peratus) diikuti Selangor dengan 143 wabak (12.2 peratus) dan Perak dengan 130 wabak (11.1 peratus).

Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu 43,736 kes (93 peratus), diikuti kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes (6 peratus) manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 696 kes (satu peratus).

Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi.

Sementara itu, beliau memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah sudahpun menjalankan sesi libat urus dengan agensi yang menyelia pengurusan pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan prasekolah sejak ME 17/2022 berikutan peningkatan kes HFMD di kebanyakan negeri.

Beliau berkata sesi tersebut memberikan penekanan kepada saringan di pintu-pintu masuk, amalan mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih, membersihkan dan melakukan basmi kuman alat permainan anak serta lantai rumah terutama tandas menggunakan larutan daripada peluntur.

Penekanan juga diberikan kepada pengurusan lampin pakai buang yang betul serta penggunaan peralatan makan dan minum berasingan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya tidak membawa anak ke tempat-tempat berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi tindakan kawalan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan