Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes harian COVID-19 Korea Selatan jangkaui 4,000 tiga hari berturut-turut

Anggaran Waktu Membaca:

SEOUL: Jumlah jangkitan koronavirus yang dicatatkan di Korea Selatan masih melepasi 4,000 kes buat tiga hari berturut-turut, dengan jumlah kes import mencecah paras tertinggi pada Jumaat (14 Jan). 

Ini mendorong pemerintah untuk melanjutkan sebahagian peraturan penjarakan sosial yang lebih ketat selama tiga minggu lagi. 

Sebanyak 4,542 kes baru COVID-19 dilaporkan di negara tersebut hari ini, termasuk 4,133 jangkitan tempatan. Ini membawa jumlah terkumpul kepada sebanyak 683,566 kes, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA). 

Jumlah kes import mencapai paras tertinggi dengan 409 kes dikesan hari ini sedang varian Omicron terus merebak ke merata dunia, menurut KDCA lagi. 

Pihak berkuasa memutuskan untuk melarang semua pelawat yang memasuki negara itu daripada menggunakan pengangkutan awam sebaik tiba di negara tersebut dan mengetatkan syarat hasil negatif ujian COVID-19 untuk membendung penularan virus tersebut.

Langkah-langkah ini akan dikuatkuasakan pada 20 Januari. 

Selain itu, pemerintah turut mengumumkan bahawa restoran-restoran dan kafe-kafe masih perlu ditutup sebelum 9.00 malam meskipun saiz perhimpunan sosial dinaikkan kepada enam orang berbanding hanya empat sekarang. Peraturan ini akan dilanjutkan sehingga 6 Februari. 

Keputusan itu diumumkan selepas jumlah kes jangkitan COVID-19 merosot kepada sekitar 4,000 daripada 7,000 kes pada bulan lalu setelah sekatan-sekatan diperketatkan dan kempen dipergiatkan bagi menggalak suntikan dos penggalak. 

Sungguhpun demikian, keprihatinan terhadap kemunculan semula virus tersebut masih berlegar-legar menjelang cuti Tahun Baru Cina pada lewat bulan ini dan penularan pantas varian Omicron. 

Pemerintah memutuskan untuk menguatkuasakan kuarantin khas selama dua minggu bermula 20 Januari dan menguatkuasakan sekatan-sekatan tambahan. Tahun Baru Cina tahun ini jatuh pada 1 Februari dan cuti perayaan ini akan berakhir pada 2 Februari. 

Tiket kereta api hanya akan dijual untuk tempat duduk dekat tingkap dan feri-feri dinasihatkan supaya menghadkan kapasiti penumpang kepada 50 peratus saja. 

Menjamu selera di kawasan-kawasan rehat dekat lebuh raya juga akan diharamkan, menurut KDCA, sambil menambah bahawa sembilan pusat ujian sementara COVID-19 akan dibangunkan di tempat-tempat sedemikian dan stesen-stesen bas dan kereta api di merata negara tersebut. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan