Skip to main content

Dunia

Kes GISBH: Tindakan pisahkan kanak-kanak adalah bagi siasatan menyeluruh, kata Menteri Dalam Negeri Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Kes GISBH: Tindakan pisahkan kanak-kanak adalah bagi siasatan menyeluruh, kata Menteri Dalam Negeri Malaysia

Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Rawang, Selangor. (Gambar: Google Maps)

PUTRAJAYA: Tindakan memisahkan kanak-kanak dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dengan ibu bapa mereka bertujuan melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan mengikut lunas undang-undang dan fokusnya adalah eksploitasi wanita dan kanak-kanak. 

"Bila polis selamatkan, polis berpandukan kepada 11 akta buat masa sekarang dan penyiasatan terus melebar. 

“Kami fokus (siasatan) kepada eksploitasi wanita dan kanak-kanak termasuk potensi berlaku pelecehan seksual kanak-kanak mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam sesi libat urus dan ramah mesra bersama Ketua Pengarang Media hari ini (11 Okt).

Beliau mengulas laporan mengenai enam peguam bakal mengemukakan bukti di mahkamah bagi menyokong dakwaan bahawa tindakan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang dikaitkan dengan GISBH tidak mengikut undang-undang.

Encik Saifuddin Nasution berkata PDRM ketika ini menjalankan siasatan berhubung GISBH dengan cukup telus dan berhati-hati kerana ia melibatkan kepentingan awam.

"Setakat ini, 70 (kanak-kanak) sudah kami pulangkan kepada keluarga… sebahagian belum kami pulangkan, maksudnya belum selesai (siasatan).

"Ketika belum selesai, kalau ada ibu bapa yang nak temui (anak), sudah tentu polis kena urus perkara itu," katanya.

Semalam, 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini 58 individu ditahan di bawah akta berkenaan sejak serbuan itu dilaksanakan September lalu.

Encik Mohd Shuhaily berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 individu ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita