Skip to main content

Dunia

Kes genosid Myanmar akan dibicarakan di ICJ pada Jan 2026

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan membicarakan kes bersejarah yang menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap kaum minoriti Muslim Rohingya dari 12 hingga 29 Januari depan, menurut mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu pada Jumaat (19 Dis).
Anggaran Waktu Membaca:
Kes genosid Myanmar akan dibicarakan di ICJ pada Jan 2026
Pemandangan bangunan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di The Hague, Belanda pada 2 Disember 2024. (Gambar: REUTERS/Piroschka van de Wouw)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 Dec 2025 11:59AM
THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan membicarakan kes bersejarah yang menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap kaum minoriti Muslim Rohingya dari 12 hingga 29 Januari depan, menurut mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu pada Jumaat (19 Dis).

Prosiding itu dijangka akan menetapkan hala tuju undang-undang yang boleh menjejas kes yang dikemukakan oleh Afrika Selatan terhadap Israel berhubung perang di Gaza, memandangkan ia merupakan kes genosid pertama yang dibicarakan oleh ICJ berdasarkan meritnya dalam tempoh lebih sedekad.

Pada minggu pertama perbicaraan kes tersebut, Gambia – sebuah negara Afrika Barat dengan majoriti penduduknya merupakan umat Islam – akan mengemukakan kesnya dari 12 hingga 15 Januari. Disokong oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Gambia memfailkan kes tersebut di ICJ pada 2019, menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap kaum Rohingya.

Myanmar, yang menafikan dakwaan genosid itu, boleh mengemukakan hujah balasnya dari 16 hingga 20 Januari.

Dalam langkah yang dianggap luar biasa, mahkamah itu – yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia – turut memperuntukkan tiga hari untuk mendengarkan hujah para saksi. Prosiding tersebut akan diadakan secara tertutup tanpa kehadiran orang awam dan media.

MISI PBB RUMUSKAN KEMPEN KETENTERAAN MYANMAR 2017 MELIBATKAN 'TINDAKAN GENOSID'

Satu misi pencarian fakta PBB merumuskan bahawa kempen ketenteraan Myanmar pada 2017 yang menyebabkan 730,000 anggota masyarakat Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Myanmar menolak dapatan PBB itu sebagai "berat sebelah dan tidak lengkap". Menurutnya, tindakan ketenteraan tersebut menyasarkan para pemberontak Rohingya yang melancarkan serangan terhadap pihak tentera.

Kes itu dibawa ke mahkamah di bawah Konvensyen Genosid 1948, yang digubal selepas pembunuhan beramai-ramai masyarakat Yahudi semasa Holocaust Nazi, yang mentakrifkan genosid sebagai “tindakan yang dilakukan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagiannya, kumpulan etnik, kaum atau agama tertentu”.

Myanmar dan Gambia kedua-duanya menandatangani Konvensyen Genosid tersebut, yang memberikan mahkamah tertinggi PBB itu bidang kuasa terhadap kes berkenaan.

Tindakan genosid yang dinamakan dalam konvensyen itu merangkumi tindakan membunuh anggota kumpulan, menyebabkan kecederaan serius secara fizikal atau mental, dan dengan sengaja memaksa keadaan hidup yang bertujuan untuk memusnahkan kumpulan tersebut secara keseluruhan atau sebahagiannya.

Sejak Konvensyen Genosid 1948, ICJ hanya mengesahkan satu kejadian genosid, iaitu pembunuhan beramai-ramai Srebrenica pada 1995 yang meragut nyawa sekitar 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki beragama Islam oleh tentera Serbia Bosnia semasa perang 1990-an yang memecahbelahkan Yugoslavia pada ketika itu.

Dapatan ICJ dalam kes tersebut penting dalam sebarang kes genosid yang berlaku pada masa akan datang, khususnya memandangkan Gambia dan sejumlah negara pengantara dalam kes itu termasuk Kanada, Perancis, Jerman dan Britain berhujah bahawa genosid tidak terhad kepada pembunuhan secara beramai-ramai sahaja.

Negara-negara pengantara itu menyatakan dalam pemfailan bertulis bahawa mahkamah tidak seharusnya memberi tumpuan kepada bilangan kematian semata-mata dalam menentukan niat genosid, sebaliknya turut melihat kepada pemindahan secara paksa, jenayah terhadap kanak-kanak serta jenayah seksual berasaskan jantina.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita