Skip to main content

Dunia

Kes eksploitasi kanak-kanak: Tiga pembantu pengajar GISBH mengaku tidak bersalah amang seksual

Anggaran Waktu Membaca:
SEREMBAN: Tiga pembantu pengajar di premis yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis (19 Sep), atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki sejak dua tahun lalu.


Tertuduh, Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21 tahun, Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20 tahun, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22 tahun, masing-masing berdepan lima, enam serta tiga pertuduhan, menurut laporan Astro AWANI.


Pengakuan itu dibuat sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut lima pertuduhan terhadap Muhammad Habib Noh, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan sentuhan secara seksual terhadap tiga kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia sembilan dan 10 tahun.


Bagi satu daripadanya, tertuduh turut didakwa membuatkan salah seorang mangsa terlibat melakukan sentuhan fizikal secara seksual dengan cara memegang kemaluannya, menurut laporan Astro AWANI.


Manakala bagi enam pertuduhan terhadap Muhammad Khunais Fathie, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.


Ahmad Nadzful Izham pula didakwa melakukan kesalahan sama terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika kejadian.


Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan GISBH di Kuala Pilah pada tahun 2022 dan 2023 yang lalu dan tiga daripada lima mangsa juga mempunyai pertalian adik beradik.


Justeru ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jumlah RM30,000 (S$9,145) bagi setiap pertuduhan.


Cik Nurul Balkis turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa mahupun saksi pendakwaan selain hendaklah boleh dihubungi oleh pihak berkuasa bila-bila masa, tambah laporan Astro AWANI itu lagi.


Muhammad Habib Noh dan Muhammad Khunais Fathie yang diwakili bapa manakala Ahmad Nadzful Izham diwakili abangnya dalam rayuan mereka bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.


Hakim Surita kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 (S$3,600) bagi setiap pertuduhan serta menetapkan 30 Oktober ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Jumlah itu menjadikan Muhammad Habib Noh perlu membayar jaminan RM60,000 (S$18,291), manakala jaminan terhadap Muhammad Khunnais Fathie adalah RM72,000 (S$21,949) dan Ahmad Nadzful Izham sebanyak RM36,000 (S$10,974).


Beliau turut membenarkan syarat tambahan dipohon oleh pihak pendakwaan dan mengarahkan tertuduh untuk melapor diri sekali sebulan setiap bulan di balai polis berhampiran.


Sebelum ini media melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita