Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes eksploitasi: Jabatan Agama Islam Selangor "pantau rapat" GISBH selepas 8 sekolah disyaki dikendalikannya

Anggaran Waktu Membaca:
Kes eksploitasi: Jabatan Agama Islam Selangor "pantau rapat" GISBH selepas 8 sekolah disyaki dikendalikannya

Pusat Jagaan Baitul Mahabbah yang terbiar di Seremban pada 11 Sep 2024. (Gambar: BERNAMA)

SHAH ALAM: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan mengesahkan lapan buah sekolah, termasuk dua yang diserbu berkaitan kes eksploitasi kanak-kanak, disyaki berada di bawah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Menurutnya, dua daripada lapan sekolah terbabit sudah menutup operasi secara sukarela. Dua lagi sudah tamat pendaftaran manakala sebuah sekolah ditarik pendaftarannya.

Baki sekolah yang lain masih lagi beroperasi dengan lesen dijangka sah sehingga 2028.

Berikutan serbuan terhadap 18 buah premis di Selangor, JAIS turut berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar barangan rampasan berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli GISBH diserahkan kepada pihaknya untuk membolehkan siasatan lanjut.

Encik Shahzihan memaklumkan aktiviti ahli GISBH sentiasa dipantau secara rapat oleh JAIS berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'.

JAIS juga sudah meneliti 19 video yang dimuat naik ke media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) bagi mengukuhkan hasil siasatan sedia ada, di samping mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak lain untuk melengkapkan siasatan.

Sementara itu, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya selepas mendapati dua sekolah berdaftar di bawah agensi itu terlibat dalam serbuan Op Global dilaksanakan pihak polis pada Rabu (11 Sep).

Tindakan itu dibuat mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.

Salah sebuah sekolah yang dimaksudkan adalah Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah. Ia didaftarkan dengan JAIS pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Dis 2025 dengan menggunakan sukatan pengajaran JAIS.

"Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah tersebut pada 13 Jan dan 23 Mac 2023 serta 26 Julai lepas, (kami) mendapati tidak wujud sebarang penyelewengan.

"Sebuah lagi sekolah iaitu Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly menggunakan kurikulum tahfiz sendiri serta telah didaftarkan pada 12 Nov 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Dis tahun ini,” tambah Encik Shahzihan lagi.

Media pada 11 September melaporkan sebanyak 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 premis di Selangor dan Negeri Sembilan berkaitan siasatan eksploitasi agama dan kanak-kanak.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan