Skip to main content

Dunia

Kes Ebit Lew: Telefon dianalisis polis ada sejarah layari laman lucah

Anggaran Waktu Membaca:
Kes Ebit Lew: Telefon dianalisis polis ada sejarah layari laman lucah

Pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew hadir di Mahkamah Majistret Tenom pada 27 September 2022 untuk perbicaraan kes gangguan seksual. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Jun 2023 02:06PM Dikemas Kini : 22 Jun 2023 08:34PM
KUALA LUMPUR: Saksi ketujuh perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew pada Rabu (21 Jun) menyambung keterangan dengan memberitahu mahkamah bahawa terdapat sejarah melayari laman sesawang lucah pada telefon bimbit yang dianalisisnya.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Latifah Abdul Aziz, 43 tahun, berkata laman sesawang itu dilayari daripada aplikasi Google dan hasil analisis itu telah dimasukkan dalam cakera video digital boleh rekod (DVD-R) untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Hasil analisis mendapati terkandung sejarah melayari laman sesawang disyaki berunsur lucah daripada aplikasi Google dan saya pohon pegawai penyiasat rujuk DVD-R yang saya masukkan hasil analisis tersebut.

“Daripada kesemua tangkap layar yang saya buat, ada beberapa laman sesawang disyaki berunsur lucah dan juga bukan berunsur lucah," katanya sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di Mahkamah Majistret di Tenom pada Rabu.

Beliau berkata bagi memastikan laman sesawang yang dilayari itu adalah laman sesawang yang mempunyai unsur lucah, beliau telah membuka beberapa laman sesawang dengan merujuk kepada hasil analisis dan mendapati ia sememangnya laman sesawang berunsur lucah.

Cik Latifah berkata antara laman sesawang yang turut dilayari termasuk wikipedia berkaitan "gangguan seksual", "Undang-undang gangguan seksual di Malaysia", "gurau lucah berisiko disumbat penjara" dan "Rang Undang-undang kesalahan-kesalahan seksual, hukuman seksual”.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada Rabu dijalankan tanpa kehadiran tertuduh yang mendapat kebenaran mahkamah. Peguam yang mewakili Ebit iaitu Ram Singh memaklumkan bahawa Ebit sedang menunaikan ibadah haji di Makkah.

Sementara itu dalam pemeriksaan utama Nor Azizah pagi tadi, Cik Latifah memaklumkan satu lagi telefon yang dianalisisnya mengandungi sebanyak 219 tangkap layar perbualan daripada aplikasi WhatsApp bermula pada 4 Mac 2021.

Beliau berkata perbualan tangkap layar yang diperoleh daripada telefon bimbit dalam kes itu telah disimpan dalam cakera padat (CD).

"Gambar satu (tangkap layar) menunjukkan paparan berkaitan nombor telefon milik penghantar mesej. Dalam paparan itu menunjukkan tarikh bermulanya perbualan mesej pada 4 Mac 2021 yang berikutnya (dalam bentuk tangkap layar) adalah isi perbualan," katanya.

Cik Latifah berkata daripada beberapa gambar tangkap layar itu juga ada menunjukkan panggilan suara yang tidak dijawab daripada penghantar yang dibuat pada 6.10 petang tetapi tarikh tidak dinyatakan semasa prosiding.

Terdapat juga panggilan suara yang tidak dijawab daripada penghantar pada 15 Mac dan 16 Mac 2021.

Beliau berkata pada tarikh 17 Mac 2021, satu lagi tangkap layar menunjukkan cubaan semula yang cuba dihantar daripada telefon bimbit penerima kepada pengirim tetapi mesej berkenaan tidak disampaikan.

Ebit, 37 tahun, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Perbicaraan disambung pada Khamis (22 Jun).
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita