Kes disyaki Ebola turun kepada 116 selepas ratusan kes diketepikan: WHO
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (2 Jun) mengurangkan secara ketara jumlah kes yang disyaki Ebola di Afrika Tengah kepada 116 kes, berbanding lebih 900 kes sebelum ini, dengan 330 kes kini disahkan.
Pemandangan umum Kem Kigonze yang menempatkan para penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik di Bunia, timur Republik Demokratik Congo, pada 28 Mei 2026. (Gambar fail: AFP/Glody Murhabazi)
Sehingga 31 Mei, WHO menyatakan sebanyak 116 kes yang disyaki melibatkan virus maut itu sudah didaftarkan di Republik Demokratik Congo (DR Congo), turun daripada 906 kes pada penghujung minggu lalu.
Sebanyak 321 kes kini disahkan di DR Congo, termasuk 48 kematian, manakala sembilan kes yang disahkan sudah direkodkan di negara jiran Uganda, termasuk satu kematian.
Walaupun sebahagian kes yang disyaki sudah disahkan, lebih banyak kes lain “telah dikeluarkan” daripada data selepas didapati berpunca daripada penyakit lain yang mempunyai gejala awal yang serupa atau demam yang tidak berkaitan, kata jurucakap WHO Christian Lindmeier.
Beliau menegaskan bahawa “sesiapa sahaja yang dikesan menerusi pemantauan atau hadir ke kemudahan kesihatan dengan sebarang simptom yang menyerupai Ebola” akan dikira sebagai kes yang disyaki dalam wabak tersebut sementara menunggu keputusan ujian.
Wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei di wilayah Ituri di timur laut DR Congo yang dilanda konflik, sebuah negara di Afrika Tengah yang mempunyai lebih 100 juta penduduk dan merupakan antara yang termiskin di dunia.
Namun virus itu, yang merebak melalui hubungan rapat dan cecair badan serta boleh menyebabkan demam berdarah yang membawa maut, dipercayai tular tanpa dikesan selama beberapa minggu sebelum itu.
Salah satu sebabnya ialah individu yang dijangkiti strain Bundibugyo, iaitu strain Ebola yang mencetuskan wabak tersebut, pada peringkat awal menunjukkan gejala yang menyerupai selesema, malaria atau tifoid, yang boleh melambatkan pengesanan.
Encik Lindmeier memberitahu para wartawan, dalam banyak kes, mereka yang disyaki dijangkiti Ebola didapati tidak menghidap penyakit itu selepas menjalani ujian.
Sebagai contoh, beliau berkata terdapat “beberapa kes malaria atau meningitis dan lain-lain”.
“Jadi mereka sudah tentu akan dikeluarkan daripada senarai kes yang disyaki dan tidak lagi muncul dalam statistik tersebut,” kata beliau.
“Jika anda disahkan dijangkiti, anda akan dimasukkan ke dalam jumlah kes yang disahkan,” kata beliau lagi.
Oleh itu, katanya, ia adalah perkara biasa bagi jumlah kes yang disahkan untuk terus meningkat, manakala jumlah kes yang disyaki akan berubah-ubah.
Data WHO sebelum ini turut menyenaraikan 223 kematian yang disyaki berpunca daripada virus Ebola, namun perangkaan terbaharu itu tidak lagi memasukkan kategori tersebut.
Apabila ditanya mengenai perkara itu, Encik Lindmeier menjelaskan bahawa jumlah tersebut sangat tidak jelas kerana ia merangkumi “individu yang meninggal dunia beberapa ketika lalu” dan dalam banyak kes mayat mereka tidak dapat digali semula untuk menjalani ujian.
Sementara itu, enam individu yang disahkan dijangkiti Ebola dalam wabak tersebut kini direkodkan sebagai pulih, menurut WHO.
Tiada vaksin atau rawatan yang diluluskan tersedia bagi strain Bundibugyo virus itu, dan usaha membendung penularannya bergantung terutamanya kepada langkah-langkah pencegahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.