Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes denggi melonjak lebih 100% di Johor

Kes denggi di Johor meningkat secara mendadak bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos kepada 7,761 kes, iaitu peningkatan 101.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes denggi melonjak lebih 100% di Johor

(Gambar hiasan: Miguel Schincariol/AFP)

Diterbitkan : 04 Sep 2019 04:07PM Dikemas Kini : 04 Sep 2019 04:17PM

JOHOR BAHRU: Kes denggi di Johor meningkat secara mendadak bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos kepada 7,761 kes, iaitu peningkatan 101.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata bagi tempoh yang sama tahun lepas, kes denggi yang dilaporkan 3,857 kes.

Bagi tempoh yang sama tahun ini, 19 kes melibatkan kematian dengan lapan dilaporkan berlaku di daerah Johor Bahru manakala kes selebihnya di Batu Pahat, Kluang dan lain-lain daerah. Bagi tempoh yang sama tahun lepas dilaporkan 12 kematian. 

“Daerah Johor Bahru masih daerah tertinggi melaporkan kes denggi iaitu 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes diikuti Kluang (6.1 peratus), Kulai (4.2 peratus), Batu Pahat (3.5 peratus), Muar (2.4 peratus), Kota Tinggi (2.1 peratus) dan Segamat (2.0 peratus), Tangkak (1.9 peratus), Pontian (1.5 peratus) dan Mersing (1.4 peratus),” beliau memberitahu sidang media pada Operasi Penguatkuasaan Premis Individu di Kawasan Wabak Denggi di Taman Damai Jaya, Skudai di sini, hari ini. 

Semua daerah menunjukkan peningkatan kes namun peningkatan kes tertinggi dilihat di daerah Mersing dengan peningkatan 522 peratus disusuli daerah Kluang dengan peningkatan 319 peratus.

Bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini, kes di Mersing meningkat kepada 112 kes berbanding hanya 18 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala di Kluang, kes meningkat kepada 470 kes pada tempoh yang sama tahun ini berbanding 112 kes pada 2018.

Encik Mohd Khuzzan berkata pembiakan nyamuk aedes disebabkan pembuangan sampah yang tidak teratur masih menjadi faktor penyumbang utama kepada peningkatan kes denggi ini.

Selain itu, terdapat segelintir pemilik premis masih enggan memberi kerjasama kepada pihak berkuatkuasa untuk membersihkan kawasan masing-masing walaupun sudah diberikan notis amaran oleh Jabatan Kesihatan.

“Sehubungan itu, operasi OPPI akan terus dilaksanakan di beberapa tempat untuk memastikan mereka sedar dan mengambil tindakan yang sepatutnya di dalam menghalang pembiakan nyamuk aedes. 

“Ia merupakan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan, SWCorp dan polis, yang mana jika dijumpai pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, maka kompaun sebanyak RM500 (S$165) akan dikenakan dan sekiranya kompaun gagal dibayar, mereka boleh didenda maksimum RM10,000 (S$3,300) atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali di mahkamah,” katanya.

Dari tempoh 1 Jan sehingga 24 Ogos ini, sebanyak 3,551 kompaun bernilai RM1.74 juta (S$570,000) telahpun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan menerusi pemeriksaan rutin mereka ke atas premis berisiko di seluruh negeri Johor.

“Sebagai penyelesaian jangka masa panjang, saya telah mencadangkan kepada Jabatan Kesihatan agar membuka setiap ‘stop’ (hentian atau kaunter) di pasar malam, pasar pagi dan pasir tani bagi membolehkan kita memberi penerangan mengenai bahayanya aedes. 

“Selain itu, satu mesyuarat bersama petugas khas denggi akan diadakan pada minggu hadapan bagi membincangkan lagi apakah langkah seterusnya yang akan diambil untuk memastikan kita dapat mengurangkan jumlah kes ini,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan