Skip to main content

Dunia

Kes denggi di Malaysia naik 27 peratus; Sabah catat lonjakan tertinggi 50.4 peratus

Kes denggi seluruh Malaysia meningkat 27 peratus kepada 33,367 kes setakat semalam atau Minggu Epidemiologi 23, berbanding 27,640 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes denggi di Malaysia naik 27 peratus; Sabah catat lonjakan tertinggi 50.4 peratus

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Jun 2026 03:24PM Dikemas Kini : 14 Jun 2026 03:25PM
KOTA KINABALU: Kes denggi seluruh Malaysia meningkat 27 peratus kepada 33,367 kes setakat semalam atau Minggu Epidemiologi 23, berbanding 27,640 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad berkata situasi di Sabah lebih membimbangkan apabila negeri itu mencatatkan lonjakan drastik 50.4 peratus dengan 2,866 kes dilaporkan berbanding hanya 1,905 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata lima daerah di Sabah dikenal pasti sebagai penyumbang kes tertinggi di negeri berkenaan iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tawau, Sandakan, Penampang dan Putatan.

"Kita tahu lonjakan ini berada dalam ramalan kitaran pusingan jangkitan yang berlaku setiap empat hingga lima tahun, tetapi kita perlu kekal waspada dalam berdepan situasi ini," katanya kepada pemberita di Manggatal pada Ahad (14 Jun).

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN, Hari Malaria Sedunia dan Gotong Royong Mega Peringkat Kebangsaan sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2026 di Dewan Masyarakat Manggatal pada Ahad.

Dr Dzulkefly berkata selain faktor kitaran pusingan, pihak kementerian turut mengesan bahawa peningkatan kes ini dipengaruhi perubahan subvarian virus denggi yang kini didominasi subvarian DEN-3.

Bagi mendepani cabaran itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan pendekatan strategik baharu berasaskan pendekatan Behavioral Insights (BI) menerusi program Komuniti Bebas Denggi (Kombat).

Beliau berkata KKM membawa beberapa pendekatan perubahan inisiatif terutamanya dalam konteks hari ini menggunakan pendekatan BI yang merupakan Behavioral Economics yang melihat perubahan tingkah laku manusia boleh didorong ke arah perubahan positif. 

“The nudging strategy untuk menjadikan manusia itu dapat berubah. Dia tahu tapi dia tak nak berubah, jadi literasi sahaja tidak cukup. Kita izinkan bagaimana untuk mereka berubah dengan kita kerajaan sendiri, pusat dan juga kerajaan negeri memberikan pendekatan,” katanya.

Program Kombat berkenaan pula katanya bertumpu kepada tiga strategi utama iaitu intervensi persekitaran, pemerkasaan komuniti, serta penglibatan seluruh masyarakat termasuk pengukuhan pengawasan sains entomologi.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita