Kes demam denggi di Ipoh meningkat lebih 364%

Seorang wanita digigit nyamuk. (Gambar hiasan: iStock)
IPOH: Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan dengan 65 kes dilaporkan sehingga 21 Januari lalu (Minggu Epid: 3).
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin, peningkatan itu adalah sebanyak 51 kes (364.3 peratus) berbanding dengan 14 kes pada tempoh yang sama pada tahun lalu.
"(Empat) lokaliti wabak terkawal di Taman Meru Jaya dengan dua kes dijangka tamat pada 30 Januari, Taman Wolly dengan dua kes dijangka tamat pada 4 Februari.
"Taman Asia dengan dua kes dijangka tamat pada 9 Februari, Cherry Apartment dengan dua kes dijangka tamat pada 10 Februari," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini (30 Jan).
Menurut Encik Rumaizi, pakar kesihatan awam meramalkan peningkatan kejadian kes denggi pada tahun ini berdasarkan perubahan cuaca.
Katanya lagi, Malaysia dijangka akan mengalami EL Nino (El- Nino- Southern Osillation (ENSO) neutral untuk 2023.
"Justeru itu, kes denggi dijangka meningkat pada bulan Januari dan Februari serta memuncak pada Jun dan Julai 2023," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata tahun lalu, sebanyak 2,854 notis penghapusan kacau ganggu semak samun lot tanah/rumah terbiar telah dikeluarkan.
"Sebanyak 2,148 telah dipatuhi, 75 peratus kadar pematuhan. Kadar pematuhan ini telah berkurangan sebanyak 5 peratus berbanding dengan sasaran 80 peratus setiap tahun.
"Ia ditetapkan melalui Program Pematuhan Pembersihan Lot Semak Samun Sendiri (3P3S KENDIRI)," katanya.
Tambahnya lagi, sebanyak 14 tawaran kompaun bernilai RM11,250 (S$3,467) juga telah dikeluarkan kepada pemilik yang dikesan dan gagal mematuhi notis.
Katanya lagi, tindakan pengeluaran tawaran kompaun kepada pemilik yang gagal mematuhi notis telah dinaikkan dari kadar maksimum daripada RM500 (S$154) kepada RM2,000 (S$616) berkuat kuasa 8 Februari 2022.
Encik Rumaizi berkata kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 82 (5) Akta 171, iaitu gagal patuhi notis penghapusan kacau ganggu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.