Skip to main content

Dunia

Kes dadah: Malaysia diberi akses siasat juruterbang ditahan di Jakarta

Anggaran Waktu Membaca:
Kes dadah: Malaysia diberi akses siasat juruterbang ditahan di Jakarta

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan terhadap juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta masih di peringkat awal. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Aug 2026 06:31PM
  • Pihak berkuasa Indonesia membenarkan pasukan penyiasat Malaysia mengambil keterangan juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta kerana kes penyeludupan dadah pada 29 Julai.
  • Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan siasatan masih di peringkat awal dan perkembangan akan dikongsi selepas proses selesai.
  • Pelan menyeluruh untuk memperkukuh keselamatan lapangan terbang Malaysia sedang diperincikan dan dijadual dibentang kepada Jemaah Menteri pada 19 Ogos.
  • Pelan tersebut dirangka hasil mesyuarat pelbagai agensi yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, bertujuan mencegah insiden serupa pada masa depan.
Dijana oleh AI
SUBANG: Pasukan penyiasat Malaysia diberikan akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan terhadap seorang juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan di Jakarta berkaitan kes penyeludupan dadah bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata perkembangan itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan meskipun proses tersebut masih di peringkat awal.

Encik Saifuddin berkata beliau sudah menerima taklimat awal daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan mengenai perkembangan terkini siasatan tersebut.

"Masih dalam proses, biar mereka lengkapkan dahulu proses itu dan saya juga akan berkongsi apa-apa perkembangan baharu daripada siasatan itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang pada Khamis (13 Ogos).

PELAN PERKUKUH KESELAMATAN LAPANGAN TERBANG

Encik Saifuddin berkata satu pelan menyeluruh untuk meningkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang Malaysia dijadual dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Rabu depan (19 Ogos).

Beliau berkata beliau sudah meneliti taklimat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Awang Alik Jeman, yang mempengerusikan mesyuarat pelbagai agensi bagi memperincikan pelan tersebut.

"Saya memberikan tempoh dua minggu sejak minggu lalu untuk mereka memperincikan pelan ini. Jika tiada sebarang perubahan, saya akan membentangkannya pada mesyuarat Kabinet akan datang bersama-sama Menteri Pengangkutan," katanya.

Pada 29 Julai lalu, seorang juruterbang rakyat Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah, termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.

Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum diberkas di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita