Kes dadah juruterbang: Polis Malaysia hantar pasukan ke Jakarta siasat rangkaian sindiket
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan pegawai penyiasat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ke Jakarta minggu depan bagi menyiasat rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah membabitkan seorang juruterbang Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan selepas menghadiri program Waspada terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama pada 5 Ogos 2026. (Gambar: Bernama)
Pengarah JSJN Bukit Aman Hussein Omar Khan berkata pasukan itu akan berada di Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos bagi membantu melengkapkan siasatan.
Ia termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah, kaedah penyeludupan serta kemungkinan kaitan suspek dengan sindiket di Indonesia.
Menurut Encik Hussein, PDRM juga akan menyiasat bagaimana dadah diperolehi dan bagaimana suspek boleh melepasi pemeriksaan keselamatan di pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Siasatan itu penting bagi mengenal pasti keseluruhan rantaian pengedaran termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain," katanya kepada Bernama pada Rabu (5 Ogos).
Beliau berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini dan polis mendapati dua petugas yang turut disiasat tidak mempunyai kaitan langsung dengan suspek.
SIASAT KEMUNGKINAN KAITAN KES DI SURABAYA
Dalam perkembangan berasingan, polis turut menyiasat kemungkinan terdapat kaitan antara kes juruterbang tersebut dengan penahanan seorang lagi lelaki Malaysia berusia 22 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya baru-baru ini.
Encik Hussein berkata siasatan kes di Surabaya agak mencabar kerana sindiket dipercayai menggunakan maklumat pihak ketiga untuk mendaftarkan nombor telefon.
Mereka juga dipercayai berkomunikasi melalui media sosial bagi menyukarkan pengesanan.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dari Johor ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dikesan membawa empat bungkusan mengandungi kira-kira satu kilogram syabu.
Dia juga didapati membawa empat bungkusan mengandungi lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan pada badannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.