Kes COVID-19 varian Omicron merebak melalui jangkitan dalam masyarakat di UK
Setiausaha Kesihatan Britain Sajid Javid memberitahu Parlimen pada Isnin (6 Dis) bahawa varian Omicron merebak di Britain menerusi jangkitan dalam masyarakat berbanding menerusi individu yang tiba di Britain dari luar negara.

(Gambar: AP)
LONDON: Setiausaha Kesihatan Britain Sajid Javid memberitahu Parlimen pada Isnin (6 Dis) bahawa varian Omicron merebak di Britain menerusi jangkitan dalam masyarakat berbanding menerusi individu yang tiba di Britain dari luar negara.
Menurutnya, terdapat 336 kes COVID-19 varian Omicron di negara itu iaitu 261 di England, 71 di Scotland dan empat di Wales, lapor agensi berita Anadolu.
"Ini termasuk kes-kes tanpa hubung kait dengan perjalanan ke luar negara, jadi kami boleh menyimpulkan bahawa kini terdapat jangkitan dalam masyarakat di beberapa wilayah di England," kata Encik Javid.
Beliau memberi amaran bahawa beliau tidak boleh memberi jaminan varian Omicron "tidak akan menjejas perjalanan negara itu ke arah pemulihan."
Encik Javid berkata mulai pukul 4.00 pagi pada Selasa, para pelawat yang sudah lengkap divaksin dan belum divaksin dari negara-negara yang tidak disenarai merah ke Britain perlu menunjukkan hasil negatif ujian COVID-19 bagi tempoh 48 jam sebelum berlepas.
Beliau juga menarik perhatian bahawa Nigeria dimasukkan ke dalam senarai merah.
Menurut Anadolu, Britain mencatatkan 51,549 kes baru COVID-19 pada Isnin, menjadikan keseluruhan jumlah kes sejak pandemik bermula kini lebih 10.5 juta.
41 kematian turut dilaporkan di seluruh UK sepanjang tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka korban keseluruhan sejak pandemik menular kini sebanyak 145,646.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.