Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes COVID-19 terus merosot, Korea Selatan pertimbang longgarkan sekatan

Anggaran Waktu Membaca:

SEOUL: Jumlah kes baru COVID-19 di Korea Selatan jatuh ke bawah paras 200,000 pada Sabtu (9 Apr) sedang penularan varian Omicron semakin perlahan setelah mencapai kemuncaknya bulan lalu. 

Sebanyak 185,566 kes baru COVID-19 dilaporkan di Korea Selatan, termasuk 40 kes import. 

Ini membawa jumlah terkumpul kes COVID-19 di negara tersebut kepada 15,169,189, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KDCA). 

Jumlah jangkitan semakin merosot baru-baru ini setelah negara itu melaporkan kes harian tertinggi, iaitu lebih 620,000, pada 17 Mac. 

Pihak berkuasa dijangka menurunkan tahap amaran COVID-19 untuk mencerminkan jumlah kes yang semakin merosot. 

Sebanyak 338 kematian dilaporkan pada Sabtu, sekali gus membawa jumlah kematian kepada 19,092, menurut agensi berita Yonhap. 

Jumlah pesakit teruk turun sebanyak enam orang kepada 1,099 berbanding Jumaat (8 Apr). 

Pemerintah menyatakan ia sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan langkah-langkah jarak selamat dan membenarkan orang ramai  menanggalkan pelitup mereka di luar sekiranya keadaan terus terkawal menjelang akhir minggu depan. 

Perdana Menteri Kim Boo-kyum  pada Jumaat (8 Apr) berkata  pemerintah akan memuktamadkan keputusannya pada masa terdekat. 

COVID-19 kini disenaraikan sebagai penyakit berjangkit Kategori 1, iaitu kategori yang tertinggi dan merangkumi penyakit-penyakit seperti virus Ebola dan sindrom pernafasan Timur Tengah. 

Penyakit berjangkit dalam Kategori 1 memerlukan langkah pengasingan diri yang ketat dan laporan segera tentang penularan virus. 

Setakat ini, 86.7 peratus daripada 52 juta penduduk Korea Selatan sudah lengkap divaksin, manakala 64.1 peratus sudah menerima dos penggalak, menurut KDCA. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan