Kes COVID-19 Peru jangkaui 500,000; kadar kematian tertinggi di Amerika Latin
Kes-kes COVID-19 di Peru sudah melepasi setengah juta dan negara itu mencatat kadar kematian tertinggi di Amerika Latin, menurut data kementerian kesihatan negara itu pada Khamis (13 Ogos), sedang pemerintah cuba membendung lonjakan pada jumlah jangkitan baru-baru ini.
Kakitangan pengurusan jenazah lakukan proses basmi kuman seorang mangsa COVID-19 di sebuah rumah di Peru (Gambar: AFP/Carlos MAMANI)
LIMA: Kes-kes COVID-19 di Peru sudah melepasi setengah juta dan negara itu mencatat kadar kematian tertinggi di Amerika Latin, menurut data kementerian kesihatan negara itu pada Khamis (13 Ogos), sedang pemerintah cuba membendung lonjakan pada jumlah jangkitan baru-baru ini.
Terdapat 507,996 kes yang disahkan dan 25,648 kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus tersebut, dedah naib menteri kesihatan Luis Suarez dalam satu sidang media.
Negara itu turut melaporkan angka korban virus korona tertinggi di Amerika Latin dengan 78.6 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, menurut perangkaan Reuters, sekali gus mengatasi jirannya Chile dan Brazil yang turut terjejas teruk.
Presiden Martin Vizcarra ketika berucap pada awal Khamis semasa satu acara umum untuk memberi penghormatan kepada 120 doktor yang meninggal dunia akibat COVID-19, menyalahkan acara sosial dan sukan dan sikap sambil lewa orang ramai atas peningkatan pada jumlah kes jangkitan baru-baru ini.
"Para penduduk dibuai dengan keyakinan yang keterlaluan," kata Presiden Vizcarra.
"Mari belajar dari sejarah, perbaiki kesilapan dan sekarang kita bersatu walaupun terdapat perbezaan pada beberapa keputusan yang dibuat," tambahnya.
Presiden Vizcarra pada Rabu melarang perhimpunan keluarga, menguatkuasakan semula perintah berkurung pada Ahad dan memperluaskan sekatan pergerakan di lima lagi wilayah di negara itu sedang perangkaan menunjukkan peningkatan 75 peratus jangkitan dalam kalangan kanak-kanak dan belia.
Kes pertama virus korona dilaporkan di Peru, pengeluar tembaga kedua terbesar di dunia, pada 6 Mac dan seminggu kemudian pemerintah melaksanakan kuarantin ketat, menghentikan hampir semua aktiviti pengeluaran. Ekonominya dijangka menguncup sebanyak 12 peratus tahun ini akibat tekanan pandemik itu, menurut unjuran bank pusat.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.