Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kes COVID-19 M'sia lebih 3,960; 69 kes baru tidak tahu asal usul jangkitan

Sebanyak 170 kes baru COVID-19 dengan satu lagi kematian direkodkan pada Rabu (7 Apr), 12.00 tengah hari, di Malaysia sekali gus menjadikan jumlah kes positif virus korona sebanyak 3,963, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes COVID-19 M'sia lebih 3,960; 69 kes baru tidak tahu asal usul jangkitan

Seorang pekerja kesihatan menjalankan ujian virus korona pandu masuk di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, Malaysia, pada 28 Mac 2020. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Diterbitkan : 08 Apr 2020 07:46AM Dikemas Kini : 08 Apr 2020 07:48AM

PUTRAJAYA: Sebanyak 170 kes baru COVID-19 dengan satu lagi kematian direkodkan pada Rabu (7 Apr), 12.00 tengah hari, di Malaysia sekali gus menjadikan jumlah kes positif virus korona sebanyak 3,963, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kematian terbaru itu menjadikan jumlah terkini yang maut akibat COVID-19 seramai 63 orang atau 1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes kematian ke-63 (kes pesakit ke-3,794) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 71 tahun yang berasal dari Perlis. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada 17 Mac hingga 24 Mac.

"Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hjh Kalsom, Johor pada 5 April dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.00 malam tadi," katanya semasa sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan.

Malaysia merekodkan 69 kes sporadik COVID-19 setakat ini, iaitu kes yang tidak diketahui asal usul dan punca jangkitannya, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata keputusan itu diperolehi selepas 8,025 ujian dijalankan bagi mengesan kes sporadik melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) dengan baki 7,956 keputusan ujian pula adalah negatif.

"Jadi kita ada kes sporadik tapi tak banyak yang kita tak tahu asal jangkitan dari mana. Ada yang kes sporadik tapi bila kita lihat sejarah, ada sejarah berkaitan sama ada perhimpunan Sri Petaling dan perhimpunan gereja di Kuching jadi itu bukan sporadik sebab kita dapat kesan mana asal usul jangkitan ini. 

"Tapi yang kita tak dapat kesan adalah 69 kes tak tahu macam mana dia dapat jangkitan itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bekalan reagen atau bahan uji kaji mengesan COVID-19 hanya mampu bertahan selama kira-kira seminggu sahaja dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha untuk mendapatkan stok bekalan reagen itu.

"Minggu lepas kami kekurangan reagen, jadi pembekal yang kami kenal pasti ada tiga syarikat tapi hanya mampu membekalkan reagen itu sebanyak 40 peratus daripada keperluan KKM.

"Jadi bila kami ada kekangan reagen, pembekal masing-masing mencari sama ada terdapat bekalan di Singapura atau tidak dan pihak Jabatan Kesihatan Sabah pun sedang berusaha mendapatkan reagen itu," ujarnya dan berharap bekalan tersebut akan diperolehi segera. 

Beliau berkata KKM juga sedang mengoptimumkan penggunaan satu reagen dalam setiap lima sampel kes COVID-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM tidak pernah mendedahkan data peribadi pesakit COVID-19 secara umum, sebaliknya hanya mendedahkan maklumat seperti jumlah pesakit dan nombor kes. 

Ia menyusuli kewujudan sebuah portal yang menggunakan logo KKM yang mendedahkan butiran penuh pesakit COVID-19.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan