Kes COVID-19 di Malaysia stabil tanpa kematian sejak Jan
Semboyan “Kita Jaga Kita” dipaparkan di pusat pemberian vaksin COVID-19 semasa pandemik COVID-19 di Malaysia. (Gambar: BERNAMA)
This audio is generated by an AI tool.
Kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan walaupun Singapura melaporkan peningkatan kes baru-baru ini, jumlah kes COVID-19 dalam negara sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2026, menurun sebanyak 12.6 peratus (9,682 kes) berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Meskipun terdapat peningkatan sebanyak 0.7 peratus (iaitu 575 kes berbanding ME18/2026), situasi ini kekal terkawal.
“Hal ini kerana, majoriti besar kes dilaporkan hanyalah melibatkan gejala ringan yang tidak memerlukan rawatan di hospital dan tiada sebarang kes kematian akibat COVID-19 direkodkan sepanjang tahun ini,” menurut kenyataan KKM.
KKM menyatakan aktiviti penjujukan genomik yang dijalankan secara berterusan turut mengesan beberapa subvarian baharu dalam kalangan masyarakat, namun varian berkenaan tidak menunjukkan kecenderungan mencetuskan gelombang jangkitan yang serius.
KKM memaklumkan jangkitan COVID-19 kini diuruskan dalam kategori jangkitan saluran pernafasan lazim seperti selesema biasa dan influenza.
Sehubungan itu, orang ramai disaran agar terus mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri termasuk menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup sekiranya bergejala atau berada di kawasan sesak, serta mendapatkan perlindungan vaksinasi.
“Pengambilan vaksin amat digalakkan khususnya bagi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, golongan imunokompromi, dan wanita hamil bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan.
“Perkhidmatan vaksinasi ini boleh didapatkan di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Baru-baru ini, Singapura dilaporkan sedang memantau peningkatan kes COVID-19 berikutan sebanyak 12,700 kes dilaporkan bagi minggu 10 hingga 16 Mei, berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.