Skip to main content

Dunia

Kes COVID-19 Australia kekal terkawal sedang kadar vaksinasi meningkat

 Kes-kes COVID-19 di Australia kekal terkawal hari ini (19 Okt) sedang bandar-bandar terbesarnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes COVID-19 Australia kekal terkawal sedang kadar vaksinasi meningkat

Penduduk di Pantai Coogee di Sydney, Australia pada 18 Okt 2021. (Gambar: Reuters/Loren Elliott)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 10:15AM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 10:17AM

SYDNEY: Kes-kes COVID-19 di Australia kekal terkawal hari ini (19 Okt) sedang bandar-bandar terbesarnya - Sydney dan Melbourne - secara beransur-ansur bergerak ke arah normal di tengah-tengah peningkatan pada kadar vaksinasi.

Ini setelah ia dikejutkan dengan gelombang ketiga jangkitan varian Delta.

Varian Delta yang pantas menular itu memaksa Sydney, Melbourne dan Canberra menggugurkan pendekatan sifar COVID-19 dan para pegawai kini menyasarkan untuk melonggarkan sekatan-sekatan ketat sebaik sahaja kadar vaksinasi dua dos di sana menjangkaui 70 peratus, 80 peratus dan 90 peratus.

Sydney, bandar terbesar Australia, dan Canberra keluar daripada perintah berkurung selama sebulan pada minggu lalu setelah memperhebatkan kempen vaksinasi untuk mencapai sasarannya manakala Melbourne pula menepati sasaran untuk menarik balik perintah duduk rumah yang ketat hujung minggu ini.

Pihak berkuasa di Queensland, yang pada Isnin menjadi wilayah pertama bebas COVID-19 akan membentangkan rancangan pembukaan semula sempadannya, sambil menggesa penduduk seramai lima juta orang supaya mendapatkan vaksinasi menjelang pembukaan semula sempadannya seminggu sebelum Hari Krismas - apabila kadar vaksinasi dua dos dijangka mencecah 80 peratus.

Ketua Menteri Queensland Annastacia Palaszczuk berkata pembukaan semula sempadan perlu menjadi "insentif" untuk penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Queensland sejauh ini baru memvaksin 57 peratus penduduk yang berusia 16 tahun dan ke atas. Ini masih jauh daripada purata nasional 68 peratus dan 81 peratus di New South Wales.

"Kita bernasib baik kerana sebahagian besarnya bebas varian Delta. Jadi sekarang ini sangat penting untuk semua orang di Queensland mendapatkan vaksinasi. Masa adalah faktor penting," Palaszczuk memberitahu Nine News hari ini.

Sebanyak 1,749 kes baru dilaporkan di Victoria, kebanyakannya di ibu kota Melbourne, kurang daripada 1,903 pada Isnin.

Kes jangkitan harian di New South Wales (NSW), dengan Sydney menjadi ibu kotanya, naik kepada 273 hari ini berbanding 265 semalam. Namun ia masih lebih rendah berbanding kemuncak pandemik dengan 1,599 kes pada awal September.

Lebih 20 peratus kes baru yang dilaporkan di NSW sepanjang minggu lalu adalah dalam kalangan kanak-knak berusia bawah 10 tahun, menurut data pemerintah.

Australia mencatatkan sekitar 147,000 kes COVID-19 dan 1,558 kematian.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita