Kes bunuh pelajar di Cyberjaya: 2 pelajar digantung pengajian, keselamatan dipertingkat di penginapan luar kampus
Menyusuli kes pembunuhan seorang mahasiswa tempatan berusia 20 tahun, Universiti Cyberjaya menggantung pengajian dua pelajar terkait dengan kes itu, serta mempertingkatkan tahap keselamatan di kemudahan penginapan bersama di luar kampus.
Maniishapriet Kaur Akhara ditemui mati dalam unit kondominium di daerah Selangor pada 24 Jun 2025. (Gambar: Facebook/Amazing Sarawak)
Dalam satu kenyataan pada Sabtu (28 Jun), Universiti Cyberjaya menyatakan ia telah mengambil "tindakan disiplin segera dengan menggantung pengajian dua pelajar yang mungkin mempunyai kaitan dengan insiden baru-baru ini melibatkan mendiang Maniishapriet Kaur Akhara", sambil menambah tempoh penggantungan pelajar itu berkuat kuasa sementara siasatan lanjut dijalankan.
Maniishapriet, seorang mahasiswa jurusan fisioterapi di Universiti Cyberjaya, ditemui mati di unit kondominiumnya di daerah Sepang, Selangor pada Selasa sekitar pukul 10.00 pagi, dengan kecederaan pada tubuhnya, lapor media tempatan.
Tiga suspek - seorang lelaki dan dua wanita, berusia antara 19 dengan 20 tahun - diberkas dan kini ditahan reman.
Mangsa dilaporkan tinggal di Mutiara Ville, iaitu sebuah unit penginapan bersama yang disediakan oleh pihak universiti, yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari bangunan utama universiti, menurut laporan Free Malaysia Today (FMT).
Beliau tinggal di unit tersebut bersama lima lagi pelajar tetapi mereka pulang ke kampung masing-masing sempena cuti sekolah pada 21 Jun. Mendiang tinggal bersendirian di unit kondominium itu yang digunakan sebagai asrama kerana beliau dijadualkan untuk menghadapi peperiksaan pada hari dia ditemui mati, menurut media tempatan.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh seorang teman pada kira-kira pukul 10.00 pagi pada Selasa dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian selepas polis tiba di tempat kejadian.
Universiti Cyberjaya kini menjadi tumpuan perhatian serius menyusuli insiden itu, yang menimbulkan keprihatinan mengenai keselamatan para pelajar di institusi-institusi swasta pengajian tinggi.
Dalam responsnya, pihak universiti menyatakan ia sudah pun meningkatkan keselamatan di kemudahan penginapan bersama di luar kampus sejak lewat petang Khamis.
Antara langkah-langkah itu termasuk mengerahkan kakitangan keselamatan tambahan untuk menyokong pengawal keselamatan yang dilantik oleh syarikat-syarikat pengurusan penginapan masing-masing.
Mereka juga mempertingkatkan rondaan di dalam dan luar kampus.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.