Skip to main content

Dunia

Kes bunuh Kim Jong Nam: Wanita Vietnam kemuka pernyataan kaji semula tuduhan

Pihak pembelaan mewakili wanita Vietnam yang menghadapi tuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, akan mengemukakan pernyataan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji semula pertuduhan yang dihadapinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes bunuh Kim Jong Nam: Wanita Vietnam kemuka pernyataan kaji semula tuduhan

Doan Thi Huong, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 11 Mar 2019 03:44PM Dikemas Kini : 11 Mar 2019 03:46PM

SHAH ALAM: Pihak pembelaan mewakili wanita Vietnam yang menghadapi tuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong Nam, akan mengemukakan pernyataan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji semula pertuduhan yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan Thi Huong, tertuduh kedua dalam kes itu, semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azmi Ariffin hari ini (11 Mac).

"Kita perlukan tarikh baru kerana kami akan mengemukakan representasi hari ini (11 Mac). Kami mahu AGC mengkaji semula kes kami untuk menarik balik tuduhan terhadapnya (Doan)," katanya.

Permohonan pasukan pembelaan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Hakim Azmi menetapkan Khamis (14 Mac) bagi mengetahui status pernyataan tersebut dan sekiranya ditolak, mahkamah akan meneruskan perbicaraan kes itu pada hari sama.

Doan, 29, dan Siti Aisyah, 25, dari Indonesia, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, atas pertuduhan membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada sekitar 9.00 pagi, 13 Februari 2017.

Ketika ditemui pihak media, Encik Hisyam berkata pihaknya amat terkejut apabila pendakwaan menarik balik kes terhadap Siti Aisyah tetapi pertuduhan terhadap Doan masih dikekalkan.

"Kami kecewa... Doan lagi amat kecewa. Pendakwa raya tidak berlaku adil.

"Terdapat kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Pertuduhan terhadap Siti Aisyah ditarik balik sedangkan tuduhan terhadap Doan tidak. Kami tidak tahu atas dasar apa pertuduhan ditarik balik walaupun AG mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan pendakwaan pada bila-bila masa," katanya.

Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Jong Nam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagimanapun, Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini (11 Mac) atas pertuduhan membunuh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya.

Doan sepatutnya membela diri atas pertuduhan itu hari ini (11 Mac).

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita