Kes bunuh CEO Cradle Fund: 2 anak tiri ditahan polis
Dua remaja yang merupakan anak tiri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, yang maut dalam kebakaran Jun lalu, ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap kes bunuh ayah tiri mereka.
Gambar fail mendiang CEO Kumpulan Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan semasa menyampaikan ucapan perasmian CIP300. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Dua remaja yang merupakan anak tiri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, yang maut dalam kebakaran Jun lalu, ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap kes bunuh ayah tiri mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat mengesahkan penahanan kedua-dua remaja berkenaan.
Beliau berkata kedua-dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 14 dan 16 tahun itu ditahan semalam (8 Sep) di Taman Tun Dr Ismail pada sekitar 4.00 petang.
SAC Fadzil berkata permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat hari ini (9 Sep) di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Khamis lalu (6 Sep), media melaporkan dua remaja lelaki yang masih bersekolah itu ditahan bagi membantu siasatan kematian Allahyarham Nazrin selepas pemeriksaan forensik menemui dua lubang pada lehernya kesan daripada anak panah.
Menurut laporan tempatan lagi, kedua-duanya ditahan selepas soal siasat ke atas ibu mereka yang ditahan terlebih dahulu mendapati mereka mempunyai kemahiran dalam sukan memanah.
Bagaimanapun, sebelum ini Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor menafikan laporan penahanan itu dan memaklumkan jumlah tangkapan masih kekal pada dua orang.
Pada 4 September lalu, polis menahan balu Allahyarham Nazrin dan bekas suaminya, masing-masing berusia 43 tahun, bagi membantu siasatan kes itu sebelum mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Namun, tiga hari kemudian, polis membebaskan lelaki itu di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya.
Pada 3 Ogos, SAC Fadzil berkata kes kematian Allahyarham Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.