Kes baru COVID-19 di Korea Selatan kekal melebihi 35,000 buat hari ke-4 berturut-turut

Gambar fail. (Gambar: Ed Jones/AFP)
SEOUL: Jumlah kes baru COVID-19 yang dicatatkan Korea Selatan kekal di paras lebih 35,000 buat hari keempat berturut-turut, sedang varian Omicron yang mudah berjangkit itu menjadi jujukan dominan negara tersebut.
Korea Selatan melaporkan 36,719 kes baru COVID-19, termasuk 36,619 jangkitan tempatan, hari ini (8 Feb).
Ini membawa jumlah kes COVID-19 kepada 1,081,681, menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).
Jumlah kumulatif COVID-19 di negara itu menjangkaui 1 juta pada Ahad (6 Feb), dua tahun selepas mengesan kes pertama COVID-19 di Korea Selatan.
Jumlah yang dicatatkan hari ini seganda lebih banyak berbanding jumlah-jumlah yang dilaporkan seminggu lalu, dan lebih tiga kali ganda berbanding dua minggu lalu, lapor KDCA.
Seramai 6,922 terkorban akibat COVID-19, naik 36 berbanding Isnin (7 Feb). Kadar kematian pula berada di 0.64 peratus, merosot sedikit berbanding 0.66 peratus semalam.
Manakala, 268 pesakit COVID-19 sakit tenat, berbanding 266 semalam, menurut KDCA. Jumlah pesakit yang sakit tenat berada dalam lingkungan 200 buat 11 hari berturut-turut, lapor agensi berita tempatan Yonhap.
Pihak berkuasa sudah pun menyatakan bahawa penularan pesat varian Omicron memberi tekanan luar biasa kepada para kakitangan kesihatan dan pegawai pemerintah, menyebabkan pihak berkuasa untuk tidak lagi menelefon para pesakit COVID-19 berisiko rendah yang dirawat di rumah, setiap hari.
Pihak berkuasa kesihatan kini akan membuat panggilan harian kepada para pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas ataupun mereka yang mempunyai penyakit-penyakit lain. Para pesakit berisiko rendah, berusia 50 tahun dan bawah, akan dibiarkan untuk memantau keadaan mereka dan harus menghubungi hospital tempatan jika simptom-simptom mereka semakin teruk.
Setakat hari ini, 55.4 peratus penduduk sudah menerima suntikan dos penggalak, manakala 86 peratus penduduk sudah lengkap divaksin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.