Skip to main content

Dunia

Kes anak Rafizi: Polis Malaysia rakam keterangan 19 individu

Anggaran Waktu Membaca:
Kes anak Rafizi: Polis Malaysia rakam keterangan 19 individu

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail (tengah) di Menara 1 Bukit Aman pada 22 Ogos 2025. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Aug 2025 04:53PM
KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan seramai 19 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes anak lelaki mantan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata mereka yang dipanggil termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu, pekerja serta beberapa saksi lain.

"Selain itu, polis telah mengambil dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Jumaat (22 Ogos).

Pada masa yang sama, Encik Mohd Khalid berkata polis masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital berkaitan cecair yang disuntik kepada anak Encik Rafizi.

Beliau turut memaklumkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu berada dalam keadaan stabil, dengan doktor terus menjalankan pemantauan kesihatan terhadapnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan Encik Rafizi bahawa isterinya menerima pesanan berbaur ugutan, Encik Mohd Khalid berkata siasatan mendapati nombor telefon yang digunakan didaftarkan atas nama seorang warga asing, dan polis masih berusaha mengenal pasti individu terbabit.

Baru-baru ini, media melaporkan anak lelaki Encik Rafizi diserang kira-kira 2.00 petang di kawasan menurunkan penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Encik Rafizi mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripadanya bertindak mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu menggunakan jarum suntikan.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita