Kes 3 anggota polis bantu 'Geng 36' dibatalkan
Seorang pegawai polis wanita dan dua anggota polis lelaki dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majisret hari ini (29 Okt) atas tuduhan membantu anggota kumpulan Geng 36 iaitu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, tiga tahun lalu.

(Gambar: Polis Diraja Malaysia/Facebook)
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis wanita dan dua anggota polis lelaki dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majisret hari ini (29 Okt) atas tuduhan membantu anggota kumpulan Geng 36 iaitu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, tiga tahun lalu.
Majistret Mahyudin Mohmad Som membuat keputusan itu terhadap Inspektor S. Kushalani, 32 tahun, Sarjan A. Rajaratnam, 42 tahun, dan Konstabel M. Uthayakumar, 32 tahun, selepas Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memaklumkan pihak pendakwaan mendapat arahan untuk melepas tanpa membebaskan ketiga-tiga tertuduh daripada pertuduhan tersebut.
“Mahkamah dengan ini membatalkan kes terhadap ketiga-tiga tertuduh. Ketiga-tiga tertuduh dilepas tanpa dibebaskan dan wang jaminan dikembalikan kepada ketiga-tiga tertuduh,” kata Encik Mahyudin semasa kes itu disebut hari ini (29 Okt).
Mereka masing-masing didakwa membantu anggota kumpulan Geng 36 yang merupakan satu pertubuhan menyalahi undang-undang di Beats Club, Desa Sri Hartamas, antara 1 Jan 2015 dan 2 Mei tahun lepas mengikut Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 (S$1,650) atau kedua-duanya.
Pada 1 Okt lepas, Kushalani yang diwakili peguam, R. T. Gaithri, Uthayakumar diwakili peguam Nicholas Netto manakala Rajaratnam pula diwakili peguam, Siti Hanis Che Wahab mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Kumpulan Geng 36 dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah terancang seperti membunuh, mendatangkan kecederaan, peras ugut, khianat dan pengedaran dadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.