Skip to main content

Dunia

Kes 1MDB: Saksi berulang kali jawab 'tidak ingat' apabila ditanya mengenai kenyataannya

Anggaran Waktu Membaca:
Kes 1MDB: Saksi berulang kali jawab 'tidak ingat' apabila ditanya mengenai kenyataannya

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Sep 2022 07:51AM

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa beliau 'tidak ingat' mengenai beberapa bahagian dalam pernyataan saksinya membabitkan pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwanya berkomunikasi terus dengan Pejabat Perdana Menteri bagi mengelak daripada disoal oleh Kementerian Kewangan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Siti Zauyah Mohd Desa, 63 tahun, memberikan jawapan itu kepada beberapa soalan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. 

Memandangkan saksi berulang kali menjawab ‘tidak ingat,’ Wan Aizuddin bertanya sama ada kenyataan mengenai komunikasi terus di antara pegawai 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri itu merupakan kenyataan beliau sendiri dan saksi menjawab “ya.”

Wan Aizuddin: Sekarang ini jika benar ia adalah kenyataan daripada anda sendiri, saya nak tanya bagaimana anda tahu pihak 1MDB berhubung terus dengan Pejabat Perdana Menteri?

Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

Wan Aizuddin: Adakah anda diberitahu oleh seseorang atau pernah lihat sebarang dokumen mengenai komunikasi mereka? (1MDB dan Pejabat Perdana Menteri)

Siti Zauyah: Saya tidak ingat. 

Wan Aizuddin: Saya cadangkan kenyataan yang anda buat mengenai perkara ini (komunikasi terus antara 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri) tidak berasas. Saya katakan Datuk tiada bukti untuk sokong kenyataan itu.

Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

Kepada soalan Wan Aizuddin mengapa saksi tidak memaklumkan sendiri kepada Encik Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu mengenai masalah komunikasi terus antara 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri, Siti Zauyah berkata “Saya hanya melapor kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.”

Bagaimanapun, Siti Zauyah berkata beliau juga tidak ingat sekiranya pernah memberitahu Mohd Irwan mengenai masalah komunikasi terus itu. 

Sementara itu, Siti Zauyah mengakui beliau berasa pelik apabila menerima arahan Encik Mohd Irwan untuk menyegerakan pengeluaran memorandum daripada Kementerian Kewangan mengenai syarikat usaha sama yang ditubuhkan bagi tujuan khusus oleh 1MDB dan Aabar Investment PJS.

Dalam pernyataan saksinya, Siti Zauyah berkata dokumen mengenai syarikat usaha sama antara 1MDB dan Aabar itu diarah disediakan dengan pantas supaya ia boleh dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Feb 2013. 

Katanya beliau juga berasa pelik kerana permintaan untuk menyegerakan pengeluaran sesuatu dokumen tidak pernah dilakukan di kementerian itu sebelum ini. 

Najib, 69 tahun, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$719 juta) dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa (6 Sep). 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita