Keruntuhan tentera Afghanistan 'mengejutkan', kata Setiausaha Pertahanan AS
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin memberitahu Kongres pada Selasa (28 Sep) bahawa keruntuhan tentera Afghanistan secara tiba-tiba adalah sesuatu yang "mengejutkan" Pentagon.
(Gambar: Reuters)
WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin memberitahu Kongres pada Selasa (28 Sep) bahawa keruntuhan tentera Afghanistan secara tiba-tiba adalah sesuatu yang "mengejutkan" Pentagon, sedang para pemimpin tentera membentangkan kepada Senat mengenai bagaimana Amerika Syarikat boleh tewas dalam perang paling panjang itu.
Para penggubal undang-undang dari Parti Republican menuduh Presiden Joe Biden berbohong mengenai saranan-saranan yang dikemukakan oleh pihak tentera yang mengusulkan agar sejumlah askar terus dikekalkan di Afghanistan. Parti Democrat pimpinan Encik Biden turut meluahkan kekecewaan terhadap proses pengunduran yang dijalankan secara terburu-buru sehingga menyebabkan beberapa askar Amerika terbunuh dan sebilangan rakyatnya tertinggal di negara itu.
Rating sokongan terhadap Encik Biden terjejas teruk akibat usaha untuk menamatkan perang selama dua dekad itu, termasuk gambar-gambar penduduk Afghanistan yang begitu terdesak untuk meninggalkan negara tersebut sehingga sanggup berpaut pada pesawat tentera Amerika semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada pemerintahan Taliban.
Pada 26 Ogos lalu, 13 askar Amerika terkorban dalam serangan nekad yang dilancarkan ketika mereka sedang menjalankan tugas untuk memindahkan para penduduk, yang akhirnya memerlukan bantuan daripada seteru Taliban di luar kawasan lapangan terbang.
Selain Lloyd Austin, Pengerusi Ketua Turus Bersama Jeneral Mark Milley dan Jeneral Frank McKenzie dari Markas Pusat Amerika Syarikat akur bahawa mereka tidak menyangka sama sekali bahawa pengambilalihan kuasa Taliban akan berlaku begitu pantas menyusuli keruntuhan pemerintah Afghanistan di Kabul.
"Malangnya, tentera Afghanistan yang dilatih oleh kami dan rakan-rakan kami kecundang dengan begitu mudah - dalam kebanyakan kes tanpa melepaskan sebarang tembakan - amat mengejutkan kami," kata Austin kepada Jawatankuasa Angkatan Bersenjata Senat."
"Adalah tidak jujur ​​untuk kami mendakwa sebaliknya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.