Kerugian banjir di 50 daerah M'sia cecah RM6.5 bilion
Penilaian impak disebabkan banjir yang berlaku di 50 daerah di Malaysia pada bulan Disember lalu menganggarkan kerugian yang dialami adalah antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion (S$1.7 bilion - S$2.1 bilion), demikian menurut dapatan awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
SEPANG: Penilaian impak disebabkan banjir yang berlaku di 50 daerah di Malaysia pada bulan Disember lalu menganggarkan kerugian yang dialami adalah antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion (S$1.7 bilion - S$2.1 bilion), demikian menurut dapatan awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata daripada jumlah itu, kerugian melibatkan aset awam dan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan adalah yang tertinggi iaitu RM2 bilion (S$643 juta).
Kerugian lain meliputi kerosakan tempat kediaman antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion (S$386 juta - S$450 juta), kenderaan RM1 bilion hingga RM1.3 bilion (S$321 juta - S$ 418 juta), pembuatan RM800 juta hingga RM1 bilion (S$257 juta - S$321 juta), premis perniagaan RM500 juta hingga RM600 juta (S$160 juta - S$193 juta) dan pertanian RM40.9 juta hingga RM49.9 juta (S$13.1 juta - S$15.7 juta).
"Ini anggaran. Saya minta DOSM untuk memurnikan angka-angka ini. Ini adalah tugas perangkaan iaitu buat anggaran, maka dari segi bantuan kami cuba sesuaikan dengan jumlah kehilangan," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan pelaksanaan Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 di Sepang hari ini (17 Jan).
Mengenai HIES/ BA 2022 itu, Encik Mustapa berkata tinjauan berkenaan dilaksanakan secara temu ramah bertemu muka yang melibatkan kira-kira 93,000 keluarga atau 500,000 penduduk di seluruh negara, bermula pada Januari hingga Disember nanti.
Antara matlamat tinjauan itu adalah untuk mengkaji dan menyediakan maklumat pola pendapatan serta perbelanjaan isi rumah, menyediakan statistik kemiskinan terutamanya kadar kemiskinan sehingga ke peringkat daerah pentadbiran, terang beliau.
"Ia membantu kerajaan merancang dan memantau keberkesanan pelaksanaan rancangan pembangunan negara khususnya bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.
Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin, yang turut hadir berkata dapatan tinjauan HIES/BA 2022 itu akan menjadi penanda aras baru bagi kerajaan untuk menggubal dasar yang berkaitan demi kesejahteraan rakyat.
Dapatan itu juga akan menjadi sumber maklumat yang akan digunakan kerajaan untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs) yang menekankan pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama serta inklusif, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.