Skip to main content

Dunia

Kertas siasatan Abdul Hadi dihantar ke AGC

Anggaran Waktu Membaca:
Kertas siasatan Abdul Hadi dihantar ke AGC

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Hadi Awang (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 08 Mar 2024 05:47PM Dikemas Kini : 08 Mar 2024 05:48PM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan membabitkan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' telah dihantar kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut setelah kenyataan Ahli Parlimen Marang itu disiarkan di portal berita pas.org.my pada 20 Februari lalu.

Beliau berkata, percakapan Abdul Hadi sudah dirakam pada Selasa (5 Mac) lalu oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, lapor Sinar Harian.

"Beliau (Abdul Hadi) telah diambil keterangan oleh pegawai USJT di ibu pejabat PAS pusat, Jalan Raja Laut pada Selasa.

"Kita telah melengkapkan kertas siasatan dan ia telah dihantar kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu," katanya pada Jumaat (8 Mac).

Jelas beliau, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan Abdul Hadi dirakam keterangan hampir sejam di ibu pejabat PAS pusat di Jalan Raja Laut, di Kuala Lumpur.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin Muhamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan beliau semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 15 Februari lalu.

Susulan itu, beliau mengutus surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ab Halim Tamuri.

Surat lima halaman itu antara lain menyebut kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan, dan akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di Malaysia.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita