Skip to main content

Dunia

Kerosakan pelbagai premis di KL akibat ribut dianggar jangkaui RM4 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Kerosakan pelbagai premis di KL akibat ribut dianggar jangkaui RM4 juta

Menteri Kerja Raya Malaysia Alexander Nanta Linggi bersama Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek meninjau kerosakan yang dialami Sekolah Kebangsaan Setapak pada 22 Mei 2023. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Kerosakan yang berlaku di sekolah dan premis kediaman di Wilayah Persekutuan akibat kejadian ribut pada Jumaat lalu (19 Mei) dianggarkan melibatkan kos pembaikan lebih RM4 juta (S$1.19 juta), dedah Menteri Kerja Raya Malaysia Alexander Nanta Linggi. 

Beliau berkata kejadian ribut minggu lalu menyebabkan sebanyak 29 sekolah di Kuala Lumpur terjejas dan kos yang dianggarkan untuk membaik pulih kesemua sekolah adalah RM3 juta (S$893,790). 

“Kerja pembaikan sekolah akan dilaksanakan secepat mungkin menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM). Terpulang kepada KPM untuk minta Jabatan Kerja Raya (JKR) laksanakan kerja baik pulih  atau KPM lantik kontraktor sendiri,” katanya kepada para pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak di Kuala Lumpur pada Isnin (22 Mei). 

Menurut Encik Nanta, selain sekolah, turut terjejas dalam kejadian ribut Jumaat lalu adalah kuarters pekerja di Kementerian Kerja Raya melibatkan lima premis rumah setingkat.

“Kerja pembaikan sudah dijalankan oleh JKR sendiri dan ia tidak melibatkan sebarang kos. Kita boleh buat sendiri dengan bajet dalaman,” katanya. 

Beliau berkata premis lain turut terlibat dalam kejadian ribut ialah lima unit rumah kuarters di Kementerian Pertahanan yang melibatkan anggaran kerja pembaikan mencecah RM500,000 (S$148,966). 

“Satu lagi ialah kejadian pokok menghempap rumah di Kedutaan Palestin. JKR sudah menerima laporan dari Bahagian Pengurusan Hartanah di Kuala Lumpur dan sudah memanggil kontraktor untuk memotong pokok yang tumbang, menjalankan kerja pembersihan dan kerja pembaikan elektrik dengan anggaran kos RM600,000 (S$178,758),” katanya. 

Sementara itu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang turut hadir bersama Encik Nanta untuk melawat SK Setapak berkata sekolah berkenaan merupakan sekolah yang paling teruk terjejas dalam kejadian ribut minggu lalu. 

“Selepas lawatan ini, tindakan susulan akan dilaksanakan supaya kerja pembersihan dan pembaikan dapat diselesaikan dalam tempoh cuti sekolah. Sebanyak lapan kelas mengalami pelbagai kerosakan melibatkan peralatan pembelajaran dan pendawaian yang terjejas,” katanya. 

Difahamkan 70 murid SK Setapak yang terjejas adalah murid berkeperluan khas dan buat masa ini mereka ditempatkan di makmal dan kelas lain. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita